sukan@hmetro.com.my
Kuching: Meskipun berjaya mengekalkan rentak tiga kemenangan, Kuching City FC enggan mendabik dada sebaliknya mengalih tumpuan kepada perlawanan seterusnya menentang Sabah dalam aksi ‘Derbi Borneo’.
Pengendalinya, Aidil Sharin Sahak mengingatkan skuadnya supaya tidak terlalu selesa dengan kejayaan itu dan kekal fokus terhadap cabaran lebih besar yang menanti di Kota Kinabalu.
Aidil berkata, walaupun Sabah kini berada di bawah Kuching City dalam kedudukan liga, mereka tetap berbahaya kerana mahu bangkit semula di gelanggang sendiri.
“Kami cuba memanfaatkan momentum dan konsistensi yang ada dan kami tidak boleh pergi ke sana dengan berfikir bahawa Sabah kini berada di bawah kerana derbi tetap derbi.
“Apa yang penting kita perlu fokus bagaimana untuk menguruskannya, kerana ini sangat berbahaya apabila mereka kalah beberapa perlawanan, dan apabila kembali bermain di tempat sendiri, mereka pasti mahu buktikan sesuatu,” kata Aidil.
Kuching City dijadual berkunjung ke Stadium Likas pada Sabtu bagi mengharungi aksi keenam liga.
Berdasarkan rekod pertemuan, The Cats belum pernah mencatat kemenangan ke atas Sabah dalam kempen Liga Super musim lalu.
Sementara itu, skuad Sang Badak turut memenangi pusingan suku akhir Piala Malaysia musim lalu dengan agregat 1-0 ke atas Kuching City.
© New Straits Times Press (M) Bhd






