Kuching City masih ada harapan ke final Piala FA

Kuching City masih ada harapan ke final Piala FA


LEGENDA bola sepak Sarawak, Jalil Ramli menegaskan bahawa Kuching City FC masih mempunyai peluang untuk mara ke final Piala FA 2025-2026 biarpun berdepan cabaran getir menentang juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim.

Menurut bekas kapten Sarawak yang pernah menjulang trofi Piala FA 1992 itu, beliau bangga dengan prestasi The Cats sepanjang musim ini yang wajar dipuji kerana bukan sahaja menyerlah dalam saingan Piala FA, malah konsisten berada dalam kelompok tiga teratas Liga Super.

“Saya rasa setakat ini, bukan sahaja dalam Piala FA, tapi dalam liga pun Kuching City pamerkan permainan yang baik.

“Kedudukan pun bagus, dalam kelompok tiga teratas. Ini perkembangan positif untuk bola sepak Sarawak,” kata Jalil Ramli.

Mengulas perlawanan separuh akhir pertama, beliau berkata Kuching City menunjukkan peningkatan ketara apabila mampu menyaingi corak permainan JDT dan hanya tewas tipis 1-2.

Menurutnya, JDT sememangnya berada di tahap berbeza berbanding pasukan lain, namun beliau memuji sikap tenang dan keberanian pemain Kuching City yang tetap berjuang menentang pasukan gergasi itu.

“Kalau lihat daripada corak permainan, banyak peningkatan ditunjukkan. Pada perlawanan pertama, Kuching City mampu menyaingi posisi dan rentak JDT. Cuma dari segi pengalaman, kelebihan memang berpihak kepada JDT,” katanya.

Menjelang aksi timbal balik di Iskandar Puteri pada 30 November ini, Abdul Jalil percaya tekanan sebenar kini terletak di bahu JDT yang perlu mempertahankan kelebihan agregat 2-1 di laman sendiri, manakala Kuching City boleh turun beraksi dengan lebih bebas.

“Walaupun ramai kata sukar untuk Kuching buat kejutan, saya rasa mereka masih ada peluang.

“Kuching tidak ada apa untuk dirugikan, semua tekanan kini pada JDT. Mereka perlu menang, sedangkan Kuching boleh bermain tanpa tekanan dan ambil peluang yang ada,” jelasnya.

Ringkasan AI

  • LEGENDA bola sepak Sarawak, Jalil Ramli menegaskan Kuching City FC masih mempunyai peluang ke final Piala FA 2025-2026 walaupun berdepan Johor Darul Ta’zim
  • Prestasi Kuching City di Piala FA dan Liga Super disebut memuaskan, berada dalam kelompok tiga teratas
  • Perlawanan separuh akhir pertama menunjukkan peningkatan ketara Kuching City, tewas tipis 1-2 kepada JDT
  • Jalil Ramli memuji sikap tenang dan keberanian Kuching City berjuang menentang JDT
  • Tekanan sebenar kini terletak pada JDT yang perlu mempertahankan kelebihan agregat 2-1, sedangkan Kuching City boleh bermain lebih bebas



Source link

OR

Scroll to Top