Kuching City sudah ambil kira risiko bawa masuk Gabriel Palmero

Kuching City sudah ambil kira risiko bawa masuk Gabriel Palmero


Palmero menyertai Kuching City pada awal bulan lalu. Foto: FB Kuching City FC

KUCHING – Kuching City FC sudah mengambil kira semua risiko yang bakal dihadapi sebelum bersetuju membawa masuk Gabriel Palmero menyertai pasukan itu.

Presiden Kelab Bola Sepak Kuching City FC Datuk Fazzrudin Abdul Rahman berkata ketika rundingan awal dilakukan, pihak kelab telah mengambil kira pelbagai faktor termasuk kemungkinan tindakan penggantungan.

“Risiko itu memang telah kita bincang dan apabila perkara itu (penggantungan) berlaku kita telah bincang dengan beliau (Gabriel) dan dia juga faham.

“Saya juga menasihati beliau agar kekal dengan latihan kerana tempoh 12 bulan itu bukan satu tempoh yang lama, sekejap sahaja.

“Kita juga sentiasa terbuka untuk menerima beliau apabila habis tempoh penggantungan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian sumbangan Aidilfitri buat golongan asnaf di kawasan Gita di sini, hari ini.

Semalam, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memaklumkan empat pemain saingan Liga Malaysia (Liga-M) tidak dibenarkan beraksi dalam perlawanan rasmi sepanjang tempoh 12 bulan susulan keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dalam rayuan kes tujuh pemain warisan Harimau Malaya baru-baru ini.

MFL menerusi satu kenyataan memaklumkan empat pemain itu terdiri daripada tiga tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT), iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel serta pemain Kuching City FC Gabriel Palmero.

Empat pemain itu antara tujuh yang dikenakan tindakan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kerana memalsukan dokumen naturalisasi dan kelayakan untuk mewakili skuad kebangsaan.

Pada Khamis lepas, CAS sebahagiannya membenarkan rayuan tujuh pemain itu terhadap hukuman FIFA serta memutuskan mereka tetap dikenakan penggantungan selama 12 bulan dan denda CHF 350,000 (kira-kira RM1.8 juta) terhadap FAM adalah wajar, setimpal dan tetap berkuat kuasa. – Bernama

 

Ringkasan AI

  • Kuching City FC sudah mengambil kira risiko sebelum bersetuju membawa masuk Gabriel Palmero
  • Presiden kelab, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman, menyatakan telah mempertimbangkan kemungkinan tindakan penggantungan
  • Gabriel Palmero faham risiko tersebut dan dinasihatkan untuk kekal berlatih selama tempoh penggantungan
  • Empat pemain dari Liga Malaysia termasuk Palmero tidak dibenarkan beraksi sepanjang 12 bulan karena keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan
  • Empat pemain itu dikenakan tindakan oleh FIFA kerana memalsukan dokumen naturalisasi dan kelayakan



Source link

OR

Scroll to Top