July 23, 2024

Kumpulan lelaki menyamar sebagai tentera pecah masuk rumah, curi senjata api di Yala

Kumpulan lelaki menyamar sebagai tentera pecah masuk rumah, curi senjata api di Yala


YALA, SELATAN THAILAND- Beberapa kumpulan lelaki yang menyamar dengan berpakaian askar dan renjer melakukan rompakan bersiri dengan mensasarkan ketua kampung dan sukarelawan pertahanan di beberapa daerah di wilayah ini.

Dalam kejadian malam tadi, kesemua penjenayah itu berjaya melarikan beberapa pucuk senjata api seperti pistol dan senapang patah.

Portal berita Thaiger melaporkan, sekitar 8.30 malam semalam, kira-kira 10 lelaki berpakaian seperti askar, bersenjata dan menutup muka, memecah masuk stesen sukarelawan pertahanan di Ban Krong Pinang di daerah Krong Pinang. Mereka melarikan selaras senapang patah dan dua pucuk pistol.

Sejam kemudian, satu lagi kumpulan yang terdiri daripada lapan anggota dan turut memakai uniform tentera tiba di pondok pengawal kampung Ban Kue Tay, daerah Yaha.

Mereka berjaya mencuri dua laras senapang patah, sepucuk pistol 9mm dan radio komunikasi.

Kira-kira 10.30 malam, satu lagi kumpulan yang lebih besar terdiri daripada 17 lelaki yang menyamar dengan memakai uniform renjer paramilitari menyerbu kediaman ketua kampung Ban Nam Yen di daerah Mueng serta mencuri selaras senapang patah.- Agensi

 

 



Source link

OR

Scroll to Top