Kumpulan MPB sumbang peralatan perubatan respiratori kepada Hospital Sungai Buloh

Kumpulan MPB sumbang peralatan perubatan respiratori kepada Hospital Sungai Buloh



khairil.ashraf@hmetro.com.my

Sungai Buloh: Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) melalui Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP, hari ini, menyerahkan peralatan perubatan berkaitan respiratori berjumlah RM43,780 hasil dana kutipan orang ramai kepada Hospital Sungai Buloh.

Pengarah Hospital Sungai Buloh, Dr Jasmeet Singh Sucha Singh berkata, pemberian sumbangan itu akan memberi manfaat kepada pesakit dan meningkatkan perkhidmatan mereka.

“Melalui pemberian sumbangan peralatan perubatan ini, kita dapat memendekkan masa menunggu untuk membuat sesuatu ujian.

“Pada masa sama, kita dapat memberi perkhidmatan kepada lebih ramai lagi pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan,” katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan itu hari ini.

Sumbangan peralatan perubatan itu disampaikan oleh Pengurus Besar Kumpulan, Jabatan Komunikasi Korporat dan Pejabat Pengerusi Kumpulan MPB, Azlan Abdul Aziz.

Dr Jasmeet turut mengucapkan penghargaannya kepada Kumpulan MPB, selain memaklumkan peralatan perubatan itu diluluskan oleh Jabatan Kesihatan Selangor dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Pihak Hospital Sungai Buloh di bawah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan KKM ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang memberikan sumbangan untuk peralatan perubatan ini,” katanya.

Pakar perubatan respiratori Hospital Sungai Buloh, Dr Tan Hui-Xin berkata, peralatan perubatan yang disumbangkan amat berguna kepadanya untuk mendiagnosis pesakit.

Menurutnya, dengan adanya peralatan itu, ia dapat memberinya jawapan secara langsung.

“Tanpa peralatan ini, saya perlu menunggu sehari dua untuk menerima laporan. Jadi dengan adanya peralatan ini, saya dapat menerima jawapan secara langsung,” katanya.

Dalam pada itu, Azlan berkata, pemberian sumbangan itu kesinambungan kerjasama antara Kumpulan MPB dan Hospital Sungai Buloh terutamanya sejak penularan Covid-19.

“Kita memberi sumbangan berdasarkan kepada keperluan Hospital Sungai Buloh pada waktu ini.

“Dari semasa ke semasa kita akan terus menghubungi bukan saja Hospital Sungai Buloh, tetapi hospital lain. Mungkin bantuan daripada segi pembiayaan, rawatan dan sebagainya,” katanya.

Sejak 2020, Kumpulan MPB menyerahkan bekalan dan peralatan perubatan hampir RM2 juta yang terdiri daripada peranti elektrokardiogram, alat bantuan pernafasan, peralatan pelindung diri (PPE) dan kit kebersihan kepada 14 institusi perubatan termasuk Hospital Sungai Buloh.

Selain itu, Kumpulan MPB juga menyumbang sebanyak sembilan peti sejuk vaksin untuk kegunaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menghantar vaksin Covid-19 ke kawasan terpencil di seluruh negara.

Orang ramai boleh membuat sumbangan kepada Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP melalui akaun bank Muamalat 14010008842718 atau Maybank 514105323170.

Sumbangan kepada Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP ini layak mendapat pelepasan cukai.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top