hafizithnin@mediaprima.com.my
Dahulu ada orang tegur kenapa kurus sangat macam penagih dadah? Jadi, saya ambil keputusan ‘bermain gym’ (gimansium) untuk mempunyai berat badan ideal,” kata bapa tiga cahaya mata itu kepada penulis.
Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Syazwan Zakaria, 37, iaitu anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Selangor sebenarnya tidak pernah menyangka bertitik tolak daripada teguran itu menjadikannya serius untuk menjadi atlet bina badan.
Baru-baru ini, dia yang berkhidmat dalam JBPM selama kira-kira 14 tahun meraih emas menerusi Kejohanan World Police & Fire Games (WPFG25) di Birmingham, Alamabama di Amerika Syarikat.
Dia menyertai WPFG25 bersama rakan sepasukan JBPM iaitu Pegawai Kanan Bomba II (PBK II) Hasmin Sarumin, PBK II Ezan Aziery Mamat, Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Hasmadi Jusoh. Hasmin dan Ezan turut berjaya merangkul pinggat emas dalam kategori masing-masing.
Sejak aktif dalam aktiviti bina badan pada 2019, Syazwan sudah menyertai empat kali kejohanan bina badan. Tiga kali menemui kegagalan dan hanya sekali berjaya di tempat kedua dalam sukan itu menerusi sukan yang dianjurkan JBPM.
Katanya, pada tahun lalu sebaik sahaja meraih tempat kedua, dia dipilih mempersiapkan diri mewakili JBPM untuk bertanding dalam kejohanan WPFG25.
“Sepanjang saya terbabit dalam sukan bina badan ini, saya tidak pernah menyangka mampu beraksi di luar negara dan mencapai kejayaan ini kerana ketika bertanding di Malaysia, tiga kali saya gagal berada di podium.
“Mungkin berkat doa ibu saya dan isteri yang tidak putus-putus memberikan kejayaan kepada saya untuk mengharumkan nama Malaysia di peringkat dunia,” katanya.
Syazwan berkata, bagi mempersiapkan diri menyertai kejohanan itu dia turut mendapat sokongan penuh daripada JBPM untuk fokus selama tiga bulan sebelum beraksi ke pentas dunia berkenaan.
“Dalam tempoh tiga bulan pelbagai persiapan dilakukan termasuk memastikan diet saya dalam keadaan baik dan secara konsisten membuat latihan di gimnasium.
“Pelbagai cabaran dilalui saya terutama untuk mengawal diet. Apatah lagi, ketika berada di rumah kerana saya dan isteri yang memasak, jadi kadangkala anak-anak bertanya mengapa tidak makan makanan yang sudah saya atau isteri sudah siapkan,” katanya.
Katanya, dalam tempoh tiga bulan itu dia memastikan pemakanan diberikan perhatian penting supaya bentuk fizikal yang sudah dibentuk tidak terjejas.
“Selain itu, antara cabaran lain ialah ketika dalam perjalanan menuju Amerika Syarikat, penerbangan yang lama menyebabkan diet saya terganggu.
“Saya tidak boleh minum air mineral biasa dan ada air khas bagi memastikan keadaan tubuh yang sudah dibentuk dalam keadaan baik dan bersedia untuk pertandingan. Jadi, itu antara cabaran yang terpaksa saya tempuhi sepanjang menuju ke pertandingan berkenaan,” katanya.
Selain itu, sebagai manusia biasa, kadangkala ada juga dia rasa malas untuk menjalani latihan di saat akhir menuju hari pertandingan.
“Saya mempunyai isteri yang amat memberikan sokongan yang baik dan dia yang banyak memberikan semangat kepada saya untuk terus berlatih.
“Jika saya katakan agak malas berlatih dia akan mengingatkan saya berkenaan tanggungjawab sebagai atlet yang mewakili JBPM untuk kejohanan dunia. Jadi, saya amat berterima kasih dengannya,” katanya.
Syazwan yang juga pemegang diploma dalam jurusan marin mekaninal dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai pada 2010 sebenarnya pernah berkhidmat dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selama lima tahun sebelum menyertai JBPM.
Selepas mencapai kejayaan dalam WPFG25, kini Syazwan dalam mempersiapkan diri untuk menyertai kejohanan bina badan, Mr Malaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd