Kuota 15 pemain import relevan – Rajagobal

Kuota 15 pemain import relevan – Rajagobal


Rajagobal (kanan) menandatangani buku autobiografinya ‘Inilah Saya – K Rajagobal’ sambil ditemani Khairul Fahmi di reruai Karangkraf sempena PBAKL 2025 pada Sabtu. Foto Sinar Harian – ROSLI TALIB

BEKAS ketua jurulatih Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal menyifatkan langkah Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) membenarkan pendaftaran sehingga 15 pemain import bagi saingan Liga Super musim 2025/2026 sebagai satu keperluan strategik dalam memperkukuh daya saing kelab tempatan di pentas Asia.

Menurut beliau, penyertaan dalam kejohanan berprestij seperti Liga Juara-Juara Elit Asia (ACLE) dan Liga Juara-Juara 2 Asia (ACL2) memerlukan pasukan memiliki barisan pemain berkualiti tinggi untuk memberi cabaran setanding lawan dari rantau lain.

“Pasukan yang mempunyai kemampuan kewangan wajar mengambil peluang ini untuk memperkukuh skuad masing-masing, selaras dengan keperluan pertandingan bertaraf antarabangsa.

“Namun, bagi pasukan yang kurang berkemampuan, ia tidak harus dilihat sebagai kekangan. Masih ada pendekatan lain yang boleh diambil bagi memperbaiki prestasi secara berterusan,” katanya ketika ditemui pada pelancaran autobiografi beliau bertajuk Inilah Saya – K Rajagobal di reruai Karangkraf, Pusat Dagangan Dunia (WTC), sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 pada Sabtu.

Sementara itu, bekas penjaga gol skuad kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat menegaskan keputusan MFL itu perlu dilihat secara menyeluruh, bukan sekadar berdasarkan persepsi awal.

“Langkah ini ada pro dan kontra. Dari segi positif, pemain tempatan berpeluang belajar daripada pemain import yang memiliki pengalaman serta tahap permainan lebih tinggi.

“Ia juga mampu meningkatkan tahap persaingan dan profesionalisme dalam liga kita,” katanya yang kini bersama Sabah FC.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan bahawa kehadiran ramai ‘awang import’ boleh mengehadkan peluang pemain muda tempatan untuk beraksi dalam kesebelasan utama.

“Namun, perkara ini seharusnya menjadi cabaran buat pemain tempatan untuk terus bekerja keras dan membuktikan kemampuan mereka.

“Saingan sebegini mampu melahirkan pemain yang lebih berkualiti, matang dan bersedia menghadapi cabaran di peringkat lebih tinggi,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top