harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: 61 pegawai dan anggota dari Cawangan Polis Pengiring Istana seluruh Malaysia jalani Kursus Asas Rawatan Kecemasan di Istana Negara Siri kedua 2024, di sini semalam.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Zailani Hashim berkata, dengan ilmu yang diperoleh menerusi kursus selama satu hari itu sekurang-kurang memberi pendedahan berhubung bantuan awal yang mampu menyelamatkan nyawa.
“Memang kita adakan (kursus) dari semasa ke semasa, sebab mereka bukan saja didedahkan dari aspek keselamatan tapi juga pendedahan awal dari aspek keperluan rawatan kecemasan.
“Ini kerana dalam tempoh empat minit (kecemasan), ia boleh memberi impak jika mereka (peserta) didedahkan dengan rawatan yang afdal untuk menyelamatkan kecederaan serta nyawa, itu intipati sebenar signifikan dalam kursus asas rawatan ini,” katanya ketika ditemui di Istana Negara, di sini.
Katanya, kursus itu disertai pasukan pengiring daripada lapan istana seluruh negara serta empat pejabat Yang diPertua Negeri (TYT).
Menurutnya, teknik perubatan kecemasan yang dipelajari pegawai pengiring terbabit juga boleh dijadikan sebagai persediaan sekiranya berlaku kecemasan membabitkan Yang di-Pertuan Agong, Raja Permaisuri Agong atau warga Istana Negara yang lain.
Peserta diberikan pendedahan berkenaan cara-cara mengenal pasti jenis kecemasan dan teknik yang betul untuk memberi bantuan awal sementara menanti ketibaan pasukan. perubatan.
Menerusi program itu peserta didedahkan dengan penggunaan peralatan automated external defibrillator (AED) dan teknik-teknik yang betul untuk melakukan prosedur
resusitasi kardiopulmonari (CPR) sebagai bantuan awal dalam situasi kecemasan.
Turut hadir beberapa pakar perubatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hospital swasta, dan aktivis, Chee Heng Kuan atau lebih dikenali Uncle Kentang bagi berkongsi pengalaman menguruskan pesakit di saat kecemasan.
Selain pegawai dan anggota pengiring turut sama menyertai kursus berkenaan adalah anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta sejumlah ahli badan bukan kerajaan (NGO), J9 daripada Johor.
© New Straits Times Press (M) Bhd