Kuskop laksana 53 pembangunan Tamu Desa di Sabah tahun ini

Kuskop laksana 53 pembangunan Tamu Desa di Sabah tahun ini


KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) melaksanakan 53 Program Pembangunan Premis (Tamu Desa) di Sabah bagi tahun 2024.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 36 projek Tamu Desa dilaksanakan dalam Fasa 1 dan 17 tapak Tamu Desa dikenal pasti di Sabah untuk pelaksanaan Fasa 2 tahun ini.

Bagi Sarawak, sebanyak 13 Tamu Desa akan dilaksanakan dalam Fasa 1 dan 20 tapak Tamu Desa dalam Fasa 2.

“Kuskop sentiasa komited untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur bagi membantu peniaga-peniaga kecil di desa dan luar bandar Sabah dan Sarawak.

“Pada tahun ini, Kuskop diperuntukkan RM20 juta bagi pelaksanaan premis projek Tamu Desa termasuk RM1 juta daripadanya disalurkan kepada persatuan-persatuan penjaja.

“Dalam hal ini, Kuskop bersama-sama Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Negeri Sarawak telah melaksanakan program Tamu Desa di kedua-dua negeri itu bermula tahun ini,” katanya pada sesi soalan lisan persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Suhaimi Nasir (Libaran) yang bertanya adakah Kementerian bercadang untuk menyenaraikan Tamu Gum-Gum, Batu 16, Sandakan dalam projek Program Pembangunan Premis Tamu Desa.

Ewon berkata, pembinaan Tamu Desa di Sabah dalam Fasa 1 tahun ini melibatkan peruntukan berjumlah RM9 juta merangkumi kerja-kerja bina baharu atau naik taraf sebanyak 36 tapak Tamu Desa.

“Terdapat satu projek Tamu Desa yang akan dinaik taraf di Sandakan iaitu di Agro Bazaar Batu 32, Sandakan di mana kerja-kerja pelaksanaan akan dimulakan dalam tempoh terdekat ini,” katanya.

Beliau berkata, bagi Sabah, surat pelantikan pegawai daerah sebagai pegawai penguasa projek telah diserahkan pada 16 Oktober 2024.

Mengenai cadangan pelaksanaan projek Tamu Desa di Tamu Gum-Gum, Batu 16, Sandakan, Ewon berkata, Kuskop sedia mempertimbangkan cadangan projek ini untuk pelaksanaan tahun 2025.

“Permohonan projek ini boleh dikemukakan menerusi pejabat daerah bagi penyelarasan selanjutnya,” katanya. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top