Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) meluluskan hampir RM2 bilion pembiayaan kepada 88,150 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini.
Jumlah itu mencerminkan sokongan berterusan kerajaan dalam memastikan kelangsungan serta pertumbuhan sektor keusahawanan.
Menterinya, Steven Sim berkata usaha itu diperkukuh menerusi pelaksanaan Kempen PowerUp10k yang menyasarkan peningkatan kapasiti 10,000 syarikat tempatan.
“Kita akan melancarkan Kempen PowerUp10k di mana kita bukan sahaja mengekalkan kelangsungan perniagaan tetapi membantu penskalaan operasi sekali gus mengangkat keupayaan mereka supaya boleh berdepan dengan cabaran,” katanya selepas menghadiri Majlis Balik Rumah One Hope Charity di Bukit Mertajam hari ini.
Selain pembiayaan, KUSKOP turut memberi tumpuan kepada peluasan akses pasaran termasuk memperkukuh kedudukan PMKS dalam pasaran domestik serta meneroka peluang ke peringkat antarabangsa.
Mengulas cabaran semasa, beliau mengakui faktor luaran seperti kenaikan harga diesel dan ketidaktentuan geopolitik global terus memberi tekanan kepada ekonomi terbuka seperti Malaysia.
Dalam masa sama, beliau menegaskan kerajaan perlu membuat keputusan sukar demi kestabilan jangka panjang walaupun berdepan kritikan.
“Contohnya Program Budi MADANI RON95 (BUDI95)…apabila kerajaan buat tahun lepas, memang dikritik tetapi kita nampak kesan keputusan tidak popular itu pada hari ini… bukan sahaja bekalan kita masih lagi mencukupi tetapi yang paling penting, rakyat secara amnya dapat menikmati petrol pada harga RM1.99 seliter,” katanya.





