Kutip deposit pasukan Liga Super

Kutip deposit pasukan Liga Super

Kutip deposit pasukan Liga Super


LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) disaran untuk memperkenalkan sistem deposit bagi setiap kelab yang ingin bertanding dalam saingan Liga Super musim depan sebagai langkah proaktif mengekang isu tunggakan gaji.

Cadangan itu dikemukakan oleh pemerhati bola sepak tempatan, Ahmad Muzakkir Hamid yang melihat pendekatan tersebut mampu membantu sekiranya sesebuah kelab berdepan masalah kewangan di pertengahan musim.

Beliau mencadangkan agar jumlah deposit berkenaan dianggarkan berdasarkan perbelanjaan minimum bulanan sesebuah kelab bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga bulan ke hadapan untuk disimpan oleh pihak MFL.

“Contohnya, katakan kelab paling bawah yang biasanya perbelanjaan mereka adalah RM1 juta untuk satu bulan. Dalam setahun, RM12 juta itu adalah jumlah minimum untuk mereka.

“Jadi saya mencadangkan MFL mengambil deposit untuk mungkin tiga bulan ke depan dan biar wang itu berada di bawah pegangan MFL.

“Katakan kalau perbelanjaan RM1 juta sebulan, mungkin RM3 juta MFL pegang. Jika berlaku apa-apa isu kebajikan pada masa akan datang, MFL boleh membantu membayar terus kepada pemain dan barisan jurulatih,” katanya kepada Sukan Sinar.

Sebelum ini, badan pengelola liga tempatan itu mengumumkan kelab bola sepak Kelantan The Real Warriors (TRW) FC tidak akan beraksi dalam saingan Liga Super bagi musim depan selepas kegagalan memenuhi kriteria yang ditetapkan di bawah Peraturan Pelesenan MFL.

Empat lagi kelab iaitu Imigresen FC, Melaka FC, Kuala Lumpur (KL) City FC dan PDRM FC diberikan Lesen Kebangsaan berserta ‘sanction’ dan perlu mengemukakan maklumat tambahan kewangan bagi memenuhi keperluan Kriteria Kewangan dan Kriteria Infrastruktur selewat-lewatnya pada 15 Julai.

Dalam pada itu, tujuh kelab lain berjaya memperoleh Lesen AFC dan Lesen Kebangsaan iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) FC, Kuching City FC, Selangor FC, Terengganu FC, Negeri Sembilan FC, Penang FC dan Sabah FC.

Bagi saingan Liga AFL A1 pula, empat kelab iaitu Kelantan Red Warrior FC, UM Damansara United FC, Armed Forces FC dan Bunga Raya FC berjaya mendapatkan Lesen Kebangsaan Luar Biasa dengan merujuk kepada Artikel 15 untuk Kitaran Pelesenan Kelab MFL 2025-2026.

Mengulas lanjut, Ahmad Muzakkir turut menekankan agar syarat bagi pasukan Liga AFL A1 yang mahu dinaikkan pangkat ke Liga Super diperketatkan bagi memastikan kelab yang naik benar-benar bersedia dari segi kewangan.

Tegasnya, penyokong juga mahu melihat MFL lebih tegas dengan menuntut setiap kelab membentangkan bukti dana sebelum dibenarkan bersaing di pentas tertinggi negara.

“Mereka kena bentangkan kewangan, bajet dan dari mana sumber duit yang mereka perolehi. ‘Proof of Fund’ itu sangat penting demi memastikan kelangsungan kelab apabila berada di Liga Super yang merupakan satu ‘alam baharu’ buat mereka.

“Liga A1 bagi kita adalah liga separa profesional yang bajetnya cukup kecil. Tetapi apabila kita berada di Liga Super, ia adalah satu alam baharu yang mempunyai pelbagai liku-liku kehidupan dan cabaran liga itu sendiri.

“Maknanya, pelbagai krisis akan timbul nanti terutamanya krisis kewangan jika syarat ini tidak diperketatkan dari awal. Ini kerana dalam ekosistem Liga Super, perkara paling utama sekali adalah kekuatan kewangan yang berada di atas,” ujarnya.



Source link

OR

Scroll to Top