La Roja menggila di Stuttgart, tempah slot ke final

La Roja menggila di Stuttgart, tempah slot ke final


Stuttgart, Jerman: Bintang muda Sepanyol, Lamine Yamal dan Nico Williams tampil memukau apabila La Roja menewaskan Perancis 5-4 dalam perlawanan penuh mendebarkan di Stuttgart awal pagi tadi, sekali gus melayakkan diri ke final Liga Negara-Negara menentang Portugal.

Yamal meledak dua gol manakala Williams turut menjaringkan gol dan melakukan satu bantuan jaringan ketika kedua-dua pemain sayap itu merobek benteng pertahanan Perancis yang dibentuk secara sementara.

Mikel Merino dan Pedri turut mencatat nama sebagai penjaring buat juara Euro 2024 itu.

Kylian Mbappe menyumbat sepakan penalti pada babak kedua, namun Sepanyol ketika itu sudah mendahului 5-1 dan dilihat berada dalam kedudukan selesa, sebelum Les Bleus tiba-tiba bangkit selepas lawan mereka mula memperlahankan rentak permainan.

Tiga gol lewat Perancis, rembatan jarak jauh Rayan Cherki, gol sendiri pemain Sepanyol dan jaringan masa kecederaan oleh Randal Kolo Muani bagaimanapun masih belum mencukupi.

Yamal, yang masih berusia 17 tahun, berkata Sepanyol “layak untuk menang.”

“Ia satu perlawanan yang hebat biarpun di penghujungnya agak mencemaskan, tetapi kami bermain dengan sangat baik,” tambahnya.

Sepanyol kekal bertahan untuk mengesahkan tempat ke final Liga Negara-Negara menentang Cristiano Ronaldo dan Portugal pada Ahad di Munich, manakala Perancis akan menentang tuan rumah, Jerman di Stuttgart bagi penentuan pingat gangsa, lebih awal pada hari yang sama.

Penjaring gol Merino sambil tersenyum, berkata: “Ia satu perlawanan yang gila. Bukan perlawanan terbaik untuk jurulatih. Tiada siapa mahu bolos begitu banyak gol tetapi perlawanan yang luar biasa buat peminat.

“Kami akan mengingatinya untuk tempoh yang lama,” katanya.

Kembali ke Jerman, tempat mereka menjulang kejuaraan Eropah setahun lalu, Sepanyol kelihatan sebagai pasukan yang lebih lengkap, meskipun hampir tergelincir pada penghujung perlawanan.

Jurulatih Perancis, Didier Deschamps berkata “ia satu keputusan yang bercampur-baur.”

“Bukan semuanya perlu dibuang ke dalam tong sampah tetapi saya tidak meninggalkan tempat ini dengan senyuman,” tambahnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top