Lage gesa penyokong Benfica percaya keupayaan pasukan

Lage gesa penyokong Benfica percaya keupayaan pasukan


Schjelderup meledak jaringan buat Benfica. Foto Agensi

PENGENDALI Benfica, Bruno Lage, menggesa para penyokong meletakkan kepercayaan terhadap kelab Liga Portugal itu setelah berjaya mencipta kejutan dengan menewaskan Bayern Munich 1-0 pada Rabu.

Kemenangan di Stadium Bank of America, Charlotte, North Carolina, memastikan Benfica menjuarai Kumpulan C Piala Kelab Dunia.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan Andreas Schjelderup pada minit ke-13, sekali gus meletakkan Benfica di tangga teratas kumpulan dengan tujuh mata, satu mata mengatasi juara Bundesliga itu.

Kemenangan ini amat signifikan buat Benfica, yang sebelum ini seri 2-2 menentang Boca Juniors dalam aksi pembukaan, serta mempamerkan separuh masa pertama yang goyah biarpun mencatat kemenangan besar 6-0 ke atas Auckland City.

Sebagai rekod, tiga mata ini merupakan kemenangan pertama Benfica dalam 14 perlawanan menentang Bayern Munich.

Dengan kejayaan menduduki tempat pertama kumpulan pada edisi baharu temasya FIFA ini, naib juara Liga Portugal itu bakal berdepan sama ada Chelsea di pusingan 16 terbaik.

“Kami memasuki perlawanan ini dengan keyakinan tinggi. Separuh masa pertama sangat baik, kami mencipta peluang terbaik untuk menjaringkan gol. Kami mahu menjadi agresif dan berjaya menamatkan saingan di tempat pertama kumpulan, perasaannya amat baik.

“Kami menamatkan saingan di tempat pertama dan ini sangat bermakna. Orang ramai perlu lebih percaya kepada kerja yang kami lakukan. Mereka bercakap tentang Boca yang perlu menang dengan banyak gol (untuk mara) dan mereka terlupa tentang perlawanan ini. Tiada siapa yang percaya kami akan menang menentang Bayern.

“Kami mempunyai kumpulan yang sangat bagus. Kami dinilai setiap tiga hari berdasarkan keputusan, tetapi apabila kami menang, kami bukanlah yang terbaik, dan apabila kami tidak menang, kami bukanlah yang terburuk,” tambahnya.



Source link

OR

Scroll to Top