Penyanyi Ifa Raziah tampil memberikan penjelasan mengenai kecaman yang diterimanya sejak lagu Gedik Raya dilancarkan pada Februari lalu.
Menurut pemilik nama lengkap, Saripah Raziah Mustapha, 51, lagu raya ini merupakan lagu ‘comeback’ untuknya selepas berehat panjang selain merancang untuk mengeluarkan lebih banyak karya selepas ini.
“Lagu Gedik Raya ini menjadi permulaan untuk saya kembali aktif berkarya selepas hampir lima tahun berehat. Jadi tahun ini saya memang merancang untuk mengeluarkan lagu secara berturut-turut, bukan sahaja lagu Raya, tetapi juga lagu solo dan duet.
“Lagu ini juga saya sendiri yang beri tajuk kepada Amy UK’s. Saya cadangkan tajuk Gedik Raya kerana saya sendiri ‘tergedik-gedik’ nak buat lagu Raya. Saya percayakan Amy untuk menghasilkan lagu yang boleh menarik perhatian ramai,” katanya.

Ifa berkata demikian ketika ditemui pada sidang media rakaman Melodi Raya 2026 yang diadakan di Saloma Theatre, Kuala Lumpur pada Selasa.
Mengulas mengenai kecaman yang diterima, Ifa berkata kebanyakan kritikan bukanlah terhadap lagu atau muzik videonya, sebaliknya ada pihak yang kurang senang melihatnya membawa konsep lagu berunsur Gen Z pada usianya sekarang.
“Saya juga nak tengok sejauh mana lagu ini boleh pergi dan bagaimana respon peminat. Sudah tentu akan ada yang mengecam. Bukan sebab mereka tak suka lagu atau muzik video itu, tetapi kerana mereka tidak suka saya secara peribadi.
“Ada yang kata perempuan seusia saya tak sesuai bawa lagu gaya Gen Z. Tetapi bagi saya, kita perlu ikut peredaran zaman. Takkanlah nak buat lagu seperti zaman 90-an sahaja.
“Mungkin orang akan pelik kenapa saya? Tapi kalau diberi kepada artis baharu, mungkin tak ada masalah. Mereka boleh buat apa sahaja gaya tarian, melompat atau beraksi pun orang terima. Tetapi sebab saya artis generasi lama, apa sahaja yang saya buat nampak salah kerana mereka anggap saya sudah berusia,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ifa turut menjelaskan muzik video Gedik Raya tidak menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) seperti yang didakwa segelintir pihak.
Sebaliknya, video tersebut dihasilkan menggunakan teknik Imej Janaan Komputer (CGI) dengan bantuan green screen bagi menampilkan konsep beraya di kayangan.
“Ada juga yang kecam sebab kata saya guna AI. Sebenarnya muzik video itu menggunakan teknik CGI dengan green screen. Konsep Gedik Raya ini beraya di kayangan, bukan di bumi. Sebab itu visualnya penuh elemen fantasi. Untuk menggambarkan konsep itu, kita gunakan teknologi terkini.
“Ada juga yang kata saya tak ada bajet sebab guna CGI. Hakikatnya kosnya agak besar dan mencecah lima angka, ia ditanggung sepenuhnya oleh Sony Music. Kostum yang dipakai juga bukan biasa-biasa kerana konsepnya beraya di kayangan.
“Saya memang mahu buat sesuatu yang berbeza. Kebanyakan lagu Raya memaparkan suasana kampung yang sudah terlalu biasa. Jadi saya cuba keluar daripada konsep itu. Bagi saya, kalau orang nak kecam atau mengata, terpulang. Yang penting lagu itu viral dan sampai kepada pendengar bagi memeriahkan lagi industri muzik tempatan,” ujarnya.






