Penyanyi, Noraniza Idris, tampil mempertahankan pandangannya mengenai lagu raya selepas memuji karya terbaharu nyanyian Shiha Zikir yang disifatkan mempunyai jiwa Melayu yang kuat.
Menerusi perkongsian di platform Threads, Noraniza mengakui lagu raya nyanyian Shiha antara yang paling digemarinya tahun ini kerana mengekalkan elemen tradisional yang dekat dengan jiwa masyarakat Melayu.
“Lagu raya baru tahun ini saya paling suka dengar lagu Shiha Zikir. Kuat rasa Melayunya. Lenggok simple saja tapi alunannya sempurna rasa,” katanya.
Menurut Noraniza, lagu raya tidak seharusnya terlalu mengejar trend muzik semasa kerana genre tersebut mempunyai identiti dan emosi tersendiri.
“Lagu raya tak perlu terlalu kreatif sangat. Tak perlu bersaing sangat dengan trend sekarang. Lagu raya ada jiwanya tersendiri.
“Tak sama mood dan feelnya seperti mencipta lagu etnik atau irama Malaysia biasa yang lain,” jelasnya.
Tambah penyanyi yang cukup sinonim dengan muzik tradisional itu, lagu raya yang mengekalkan elemen klasik lebih mudah kekal malar segar dan dekat dengan perasaan orang Melayu.
“Kekalkan saja mood jiwa lagu dulu-dulu untuk kekal evergreen sebab lagu raya adalah jiwa orang Melayu yang lembut.
“Sayu meninggalkan Ramadan untuk satu kejayaan,” katanya lagi.

Bagaimanapun, kenyataan tersebut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen apabila ada yang mengkritiknya, malah mendakwa penyanyi itu sudah tidak lagi relevan dalam industri.
Tidak melatah dengan kritikan tersebut, Noraniza bagaimanapun memilih untuk kekal tenang dan enggan melayan komen negatif.
“Kerja banyak tak ada masa nak layan toksik. Aku memang suka lagu Shiha Zikir baru ni tapi ada orang kata aku suka pusing.
“Masalah aku suka apa aku dengar, suka hati akulah. Apa nak marah pula? Aku bukan pentaksub manusia,” katanya.







