Lahir 10 anak boleh hidup hingga 100 tahun

Lahir 10 anak boleh hidup hingga 100 tahun


Shanghai: Seorang sarjana China mencetuskan kontroversi selepas mendakwa wanita yang mempunyai 10 anak boleh hidup sehingga usia 100 tahun, lapor South China Morning Post (SCMP).

Kenyataan itu datang daripada seorang profesor di Mongolia, utara China, yang tular dalam klip video di media sosial akhir Disember lalu, menurut laporan oleh Daxiang News.

“Selepas melahirkan anak, anda akan diberkati oleh Tuhan. Ia akan membolehkan anda hidup lebih lama.

“Sesetengah wanita berjaya dalam kerjaya mereka, tetapi jangka hayat mereka pendek. Mereka tidak seperti nenek di kampung yang mempunyai lapan atau 10 anak dan biasanya boleh hidup sehingga 90 atau bahkan 100 tahun.

“Nenek itu secara umumnya tidak mempunyai penyakit utama. Kemungkinan mereka jatuh sakit adalah rendah,” katanya kepada penuntutnya ketika di dalam kelas.

Bagaimanapun, nama universiti profesor itu bertugas tidak didedahkan dalam laporan itu.

Profesor itu juga dikatakan pernah bekerja di sebuah hospital sebagai doktor, dengan pendapatan 300,000 yuan (RM195,000) setahun.

Kisah itu mencetuskan perbincangan hangat di media sosial di China, dengan ramai orang mengecam sarjana berkenaan.

“Adakah anda mempunyai bukti saintifik untuk menyokong pandangan anda?” tanya seorang netizen.

“Adakah anda tidak tahu terdapat risiko bagi wanita yang melahirkan anak? Adakah wanita yang meninggal semasa bersalin juga diberkati oleh Tuhan?” kata seorang pemerhati dalam talian.

“Adakah mereka gila mendesak kami untuk mempunyai anak? Kos membesarkan anak sangat tinggi dan meletihkan bagi ibu bapa untuk mendidik seorang anak.

“Apa pun, saya sudah mempunyai seorang anak dan saya tidak akan mempunyai anak lagi, tidak kira apa yang dikatakan pakar atau kerajaan,” tambah seorang netizen.

China sedang menghadapi krisis penuaan dan ramai golongan muda enggan berkahwin atau mempunyai anak.

Penduduk negara itu menyusut pada tahun 2022 untuk kali pertama dalam tempoh 60 tahun.

Ia terus menurun pada tahun 2023 dengan penurunan sebanyak 2.08 juta orang serta kadar kelahiran terendah dalam sejarah iaitu 6.39 kelahiran bagi setiap 1,000 orang.

Pihak berkuasa sudah mencuba pelbagai cara untuk menyelesaikan masalah itu termasuk memberikan insentif tunai dan potongan cukai, namun usaha mereka dilihat sia-sia.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top