May 27, 2024

Laluan Jambatan Bailey Burung Unta ditutup seminggu


KUANTAN – Kerja pembaikan kerosakan plat keluli jambatan panel keluli bermodular atau Jambatan Bailey di Seksyen 102, Jalan Kuantan-Segamat akan bermula pada 29 April ini.

Justeru Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Pekan mengeluarkan notis pemberitahuan penutupan laluan berkenaan bagi kerja-kerja penyelenggaraan selama seminggu dan dijangka berakhir sehingga 6 Mei ini.

”Adalah dimaklumkan bahawa Laluan FT 12, Jalan Kuantan – Segamat akan ditutup bagi semua jenis kenderaan di Seksyen 102 (KM 63 Berhampiran Kawasan Burung Unta) untuk memberi laluan kepada kerja-kerja penyenggaraan Jambatan Panel Keluli Bermodular (Bailey Bridge).

”Pengguna boleh menggunakan laluan alternatif yang dicadangkan dari kedua-dua arah iaitu Kuantan-Gambang ke Muadzam melalui Laluan Persekutuan FT 03 (Kuantan – Endau melalui Bandar Pekan) dan Laluan FT 63 (Leban Condong – Muadzam Shah),” katanya.

Semua pengguna adalah dinasihatkan merancang perjalanan dengan lebih awal dan memathi arahan yang dikeluarkan dari masa ke semasa.

Terdahulu JKR memaklumkan peningkatan jumlah kenderaan berat termasuk melebihi had muatan 20 tan yang melalui jalan itu dikenal pasti sebagai punca kerosakan plat keluli Jambatan Bailey.

Jelasnya kerja pembaikan kerosakan hanya sesuai dilaksanakan selepas musim perayaan berikutan pembaikan Jambatan Bailey akan membabitkan penutupan keseluruhan jalan di lokasi itu dengan mengambilkira aliran trafik semasa yang tinggi.

Pada 7 Januari lalu, laluan itu ditutup berikutan mendapan tanah dikesan di laluan terbabit sehingga menyebabkan laluan berkenaan berlubang dan hampir putus.

Kemudian pada  27 Januari lalu, laluan itu kembali dibuka semula selepas Jambatan Bailey dibuka dua hala kepada kenderaan dengan had muatan dibenarkan tidak melebihi 20 tan dan had kelajuan 30 kilometer sejam (km/j).

Jambatan Bailey jenis Acrow 700XS itu dibina sepanjang 30.48 meter dengan kelebaran 9.3 meter.

Difahamkan ia akan dikekalkan di tapak berkenaan sehingga penyelesaian jangka panjang diambil.- MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top