Viral bulan lalu yang menyaksikan beberapa selebriti yang pada mulanya berhijab kemudian telah membuka tudung. Namun tidak semua mereka yang telah diberikan hidayah oleh Allah untuk bersikap ‘turning back’ pada kehidupan lalu. Biarpun diuji pelbagai dugaan, namun mereka masih kekal teguh berhijab kerana rasa cinta tidak berbelah bagi pada Tuhan yang satu.
Kekal Berhijab
Begitu juga bagi selebriti yang juga seorang penyanyi, Sharifah Hadijah Wan Moss, atau dikenali dengan Deja Moss. Dia yang diduga oleh kisah perceraian dengan bekas suaminya sejak dua tahun lalu tetap teguh berhijab biarpun ada terdetik untuk membuka tudung.
“Menipu kalau saya kata tidak terdetik sikit pun dalam hati untuk ke arah itu. Tetapi saya teguhkan hati. Saya dekatkan diri bersama Maha Pencipta dengan bersolat dan berzikir.
“Saya amalkan zikir Astagfirullahaladzim 1000 kali pagi dan petang, kemudian Selawat pula 1000 kali pagi dan petang juga dan lafazkan Bismillah 100 pagi dan petang serta sebelum tidur. Itu yang saya amalkan dalam dua tahun ini dan alhamdulillah ia memberi seribu ketenangan.
“Tidak dinafikan soal perceraian itu memang beri tamparan hebat dalam hidup saya. Selepas bercerai saya rasakan hidup jadi kosong. Maklum sahaja sebelum itu hubungan kami sangat baik dan tidak berlaku apa-apa pergaduhan berlaku antara saya dan bekas suami. Dan ia (perceraian) berlaku secara tiba-tiba.
“Pada mulanya memang saya tak boleh terima, saya terkejut dan tak tahu apa nak buat. Ketika itu saya just shutdown hidup saya. Enam bulan saya tak bercakap dengan orang, tak tengok TV dan lebih banyak lock myself dalam bilik. Bila kita rasa kehilangan memang sangat terasa kekosongannya,” ungkap Deja Moss yang kemudiannya mencari kekuatan berdepan saat sukar itu.
Rasa Bahagia Lepas Bercerai
“Saya cuba bangkit dan cari kekuatan dengan menghambakan diri pada Allah. Saya minta Allah untuk memberi saya kekuatan menghadapi dugaan itu. Alhamdulillah Allah dengar permintaan saya dan sedikit demi sedikit saya mula bangkit semula.
“Selepas melalui fasa perceraian itu saya mula mencari sesuatu yang boleh mengisi naluri. Dan ketika itu saya rasakan dengan melakukan charity yang paling dekat dengan diri saya. Sebelum itu memang sudah lama terdetik dalam hati tetapi tidak tahu cara lakukannya.
“Saya melihat ramai kawan-kawan yang lost bila berlaku perceraian begini. Malah ada yang buka hijab atau mula pergi ke tempat tidak sepatutnya. Tetapi saya memilih jalan untuk rapat dengan Maha Pencipta. Dulu saya pernah lost dan inilah masanya untuk saya gantikan dengan perkara berfaedah (melakukan perkara kebajikan).
“Sesungguhnya Allah atur perjalanan kita itu dengan bersebab. Malah saya tidak pernah rasa sebahagia ini selepas perceraian. Saya isi masa dengan membantu anak-anak yatim, orang asli, ibu tunggal serta golongan yang memerlukan.
“Malah saya juga turut kongsi pengalaman saya sebagai seorang usahawan kepada pelajar jika dijemput memberikan ceramah motivasi,” tambah Deja yang sudah 10 tahun bergelar usahawan Kek Lapis Sarawak.
Menurutnya yang bakal keluar dengan single terbaru bertajuk ‘Menepis Rawan’ ini begitu teruja berkongsi pengalamannya menjalin kolaborasi dengan Teratak Che Dah iaitu sebuah rumah anak yatim yang terletak di Kundang.
“Saya tiada duit untuk beri tiap-tiap bulan dan di kampung itu ada komuniti ibu tunggal. Jadi saya salurkan ilmu buat Kek Lapis Sarawak dengan mereka. Kita buat, jual dan sebahagian keuntungan disalurkan kepada rumah anak yatim berkenaan.
“Kalau ada rezeki lebih, kita juga turut salurkan pada rumah anak yatim lain, golongan ibu tunggal serta golongan asnaf yang memerlukan. Di tempat itu ada station seperti sebuah kilang untuk ibu tunggal ini bekerja dan cari pendapatan bulanan.
“Saya tidak kisah berkongsi ilmu ini kerana bagi saya biarlah legasi kek lapis saya ini berkembang maju. Kita tidak tahu bila kita akan mati, jadi saya mahu orang terus mengingati kek lapis ini dan inilah yang yang saya berikan balik pada komuniti,” ujar Deja yang memerlukan RM18 ribu sebulan untuk keseluruhan operasi di Teratak Che Dah berkenaan.
Hidup Mati Kini Kerana Allah
Justeru untuk memastikan segalanya berjalan lancar, Deja turut turun padang mengutip dana bagi membantu golongan anak yatim ini. Pada mulanya agak sukar tetapi dia bersyukur segala urusan dipermudahkan Allah.
Deja Moss yang popular dengan lagu ‘Asmara’ masih lagi meneruskan aktiviti dalam bidang seni melalui nyanyian.
“Kalau dulu memang saya hambakan diri ini pada seorang lelaki (bekas suami) selama 10. Akan tetapi setelah berpisah, saya letakkan diri saya semuanya pada Allah. Hidup dan mati saya kerana Allah.
“Saya bersyukur setiap hari kerana Allah memberi pinjaman nyawa ini. Setiap pagi saya bersyukur kerana masih lagi bernafas kerana tak tahu apa yang akan berlaku selepasnya.
“Allah beri pinjam nyawa pada kita. Dan semua yang ada di dunia ini hanya pinjaman. Semua milik Allah dan kita patut bersyukur atas kurniaan-Nya. Oleh sebab itu apabila saya hambakan diri pada Allah (selepas bercerai) saya rasa cukup tenang sekali.
“Saya reda dan terima dengan hati terbuka apa yang berlaku sebelum ini. Kata orang sudah ‘move on’ dan paling penting kena kerja keras untuk capai segala impian,” katanya yang sudah enam tahun kekal berhijab, sebelum akhiri perbualan.
KREDIT FOTO: AHMAD SYAHIR & INSTAGRAM DEJA MOSS
Download seeNI sekarang!