Noraizat (dua dari kiri) melakukan libasan dalam aksi Kumpulan B Piala Asia di Kuala Lumpur pada Sabtu. Foto FB PSM
BEREGU negara menepati ramalan mudah apabila meraih kemenangan pertama saingan Kumpulan B Piala Asia Sepak Takraw 2025 di Kuala Lumpur pada Sabtu.
Trio negara yang dibarisi Noraizat Nordin, Aidil Aiman Azwawi dan Redwan Hakim Muhammad tidak berdepan masalah menumpaskan Nepal 2-0 dalam aksi di Stadium Titiwangsa.
Nepal yang menggandingkan Dipesh Jung Thapa, Anil Jarga Magar dan Padam Bahadur Thada Magar terpaksa akur tewas 15-7, 15-5.
Malaysia dilihat mendominasi permainan memerusi libasan padu Noraizat selaku ‘killer’ dan umpanan kemas Aidil di posisi ‘feeder’ serta kehadiran muka baharu, Redwan Hakim.
Kemenangan tersebut menjadi penyuntik semangat buat pasukan untuk mara ke saingan kalah mati.
Ia juga sebagai amaran awal bahawa skuad kebangsaan bersedia memberi saingan sengit dalam edisi kali ini.
Bagaimanapun cabaran lebih besar menanti Malaysia apabila dijadual menentang musuh ketat, Thailand pada jam 9.30 malam ini.