Roy King (kanan) dan Wan Arif bermula positif setelah menewaskan pasangan Jepun pada pusingan awal Kejohanan Dunia di Paris pada Isnin. Foto Agensi
BEREGU muda negara, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King bermula dengan langkah kanan dalam saingan pusingan awal Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Perancis sebentar tadi.
Pasangan nombor 22 dunia itu menewaskan Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura dari Jepun untuk mara ke pusingan kedua kejohanan berprestij tersebut.
Mereka hanya mengambil masa 27 minit untuk menumpaskan pasangan berkedudukan ke-34 dunia itu.
Dalam aksi di Adidas Arena, Paris, Wan Arif-Roy King dilihat mudah mendominasi permainan untuk mengungguli set pertama 21-5.
Pasangan lawan cuba bangkit pada set kedua, namun gandingan negara tenang mengawal permainan untuk mengesahkan kemenangan 21-13.
Ujian getir bakal menanti juara Terbuka Macau itu apabila dijadual menentang pasangan nombor 12 dunia, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh dari Thailand dalam saingan pusingan kedua pada Rabu.
Sebagai rekod, gandingan Thailand itu mendapat ‘bye’ pada pusingan pertama.