am@hmetro.com.my
Putrajaya: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diminta menangguhkan pelaksanaan larangan pameran produk merokok di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Peniaga-Peniaga Barang-Barang Runcit Malaysia (FSGMAM), Hong Chee Meng mendakwa, ia dilaksanakan secara tergesa-gesa tanpa sebarang perundingan dengan peruncit mengenai tempoh pematuhan.
“Langkah kerajaan melarang pameran produk tembakau dan vape di premis kedai runcit terlalu drastik dan dibuat dengan tergesa-gesa kerana puluhan ribu peruncit kecil dijangka perlu mematuhi peraturan ini menjelang 1 April 2025.
“Tiada pertimbangan diberikan kepada peruncit kecil yang akan menghadapi cabaran dari segi kos pelaksanaan untuk mematuhi peraturan terbabit,” katanya meneruskan kenyataan hari ini.
Akta 852 merangkumi peraturan pendaftaran, penjualan, pembungkusan, pelabelan dan larangan merokok di tempat awam, mula berkuat kuasa 1 Oktober lalu.
Akta 852 dikuatkuasakan dengan mengenakan syarat lebih ketat terhadap peniaga rokok dan vape termasuk larangan mempamerkan produk terbabit secara terbuka di premis perniagaan.
Chee Meng berkata, setiap kedai perlu membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk membuat pengubahsuaian fizikal bagi menyembunyikan produk merokok daripada pelanggan tetapi pada masa sama kerajaan tidak menawarkan bantuan kewangan.
Katanya, langkah itu membebankan perniagaan kecil tanpa sebarang pertimbangan.
“Anggaran menunjukkan bahawa setiap peruncit mungkin menanggung kos sehingga RM6,000 untuk mematuhi larangan pameran ini dan ia memberikan tekanan kewangan yang besar kepada perniagaan kecil.
“Secara keseluruhan, kos ini boleh mencecah hampir RM300 juta untuk pelaksanaan di seluruh negara menjelang 1 April 2025,” katanya.
Beliau berkata, FSGMAM juga khuatir dengan kesan larangan pameran yang akan menggalakkan peningkatan produk rokok dan vape haram kerana produk yang sah akan tersembunyi daripada dilihat pelanggan.
“Pasaran haram, yang sudah menjadi isu serius di Malaysia, mungkin akan mengalami lonjakan yang tinggi, sekali gus memberikan kesan kepada perniagaan yang sah.
“Dengan memaksa produk sah disembunyikan dari pandangan secara runcit, kerajaan membuka pintu untuk produk seludup. Ia akan menjadi lebih sukar untuk mengesan kerana produk sah dan seludup sama-sama tidak dapat dilihat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd