Sze Fei–Nur Izzuddin melangkah bergaya di Terbuka Indonesia.
BEREGU badminton lelaki negara, Goh Sze Fei–Nur Izzuddin Rumsani, terus membuktikan status gandingan terbaik dunia apabila melangkah ke suku akhir Terbuka Indonesia pada Khamis.
Kemenangan diraih di Istora Senayan, Jakarta dalam saingan pusingan kedua ke atas rakan senegara ranking 28 dunia, Nur Mohd Azriyn Ayub–Tan Wee Kiong, untuk menang 21-14, 16-21, 21-14 dalam masa 54 minit.
Kemenangan itu juga membolehkan Sze Fei-Nur Izzuddin mengekalkan kedudukan sebagai pasangan nombor satu dunia, sekali gus motivasi sebelum berdepan lawan seterusnya dalam kejuaraan Super 1000 berkenaan.
Sze Fei-Nur Izzuddin atau lebih dikenali Fei-Din, dijadualkan berdepan wakil tuan rumah, Sabar Karyaman Gutama- Moh Reza Pahlevi Isfahani bagi slot separuh akhir.
Sebelum itu, Sze Fei-Nur Izzuddin membuka gelanggang pusingan pertama dengan menewaskan wakil Taiwan, Lee Fang-chih-Lee Fang-jen 17-21, 21-17, 21-14 dalam perlawanan 58 minit.
Turut mara, pilihan ketujuh Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang mengatasi rakan senegara, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King 14-21 21-11 21-15 dalam masa 48 minit.
Sementara itu, cabaran pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao terhenti apabila tewas kepada wakil China, Li Shi Feng, 18-21, 18-21 dalam masa 56 minit.