Langkah sumbang Harimau Muda di Jakarta

Langkah sumbang Harimau Muda di Jakarta


Harimau Muda tunduk 0-2 kepada Filipina dalam aksi pembukaan Piala ASEAN. Foto: MALAYSIA NT

SKUAD Bawah 23 Tahun (B-23) negara memulakan kempen Piala ASEAN 2025 dengan langkah kiri apabila tewas 0-2 kepada Filipina dalam aksi pertama Kumpulan A di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta pada Selasa.

Dalam perlawanan itu, ketumpulan jentera serangan yang gagal menyudahkan banyak peluang terhidang dan kelalaian benteng pertahanan mengundang padah apabila Harimau Muda terlepas peluang mengutip tiga mata penting.

Malaysia hampir membuka jaringan seawal minit keenam menerusi Aliff Izwan Yuslan, namun percubaannya berjaya diselamatkan penjaga gol Filipina, Nicholas Guimaraes.

Tiga minit berselang, Filipina menghukum skuad negara melalui serangan balas pantas yang disempurnakan oleh Otu Abang Banatao hasil hantaran Javier Mariona.

Tersentak dengan jaringan tersebut, anak buah Nafuzi Zain cuba bangkit dan hampir menyamakan kedudukan menerusi rembatan deras Haqimi Azim pada minit ke-19, namun malangnya bola hanya menggegar palang gol.

Ketika skuad negara semakin ghairah melancarkan serangan, Filipina berjaya menggandakan kelebihan pada minit ke-40 apabila Banatao sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring selepas menyudahkan hantaran Uriel Dalapo.

Bersambung babak kedua, Harimau Muda terus berusaha mencari gol, namun beberapa peluang keemasan termasuk percubaan penyerang, Fergus Tierney pada minit ke-60 gagal diterjemahkan menjadi jaringan.

Kedudukan tersebut kekal sehingga penghujung perlawanan.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia wajib mencatat kemenangan ke atas Brunei pada Jumaat serta menewaskan tuan rumah, Indonesia pada 21 Julai untuk menempah slot ke pusingan seterusnya.



Source link

OR

Scroll to Top