lizamridzuan@hmetro.com.my
Bukan sekadar lambang kemewahan, jenama dari Crewe, England itu kini turut menawarkan elemen kepuasan dalam pemanduan menerusi pengenalan model serba prestasi.
Bentley Bentayga Speed 2025 adalah kenderaan utilti sukan (SUV) berprestasi tinggi tanpa mengorbankan elemen eksklusif, lebih bertenaga daripada enjin W12 sebelum ini.
Terutama di bawah bonetnya dengan enjin baharu 4.0-liter V8 turbo-berkembar yang menghasilkan kuasa 650 PS dan tork 850 Nm paling berkuasa pernah dihasilkan Bentley untuk segmen ini.
Ia juga dengan catatan pecutan 0 ke 100 kilometer/sejam (km/j) dalam 3.4 saat serta mencatat kelajuan maksimum 310 km/j yang menjadi penanda aras baharu dalam segmen kenderaan mewah berprestasi tinggi itu.
Sebagai penawaran varian tertinggi dalam keluarga Bentayga, model ini turut menampilkan mod Sport yang diperhalusi dengan peningkatan ketara daripada segi kestabilan di jalanan, ketangkasan stereng dan tindak balas dinamik keseluruhan.
Ini termasuk ciri baharu seperti Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) Dynamic untuk membolehkan kawalan gelinciran kuasa atau drift terkawal salah satu ciri pertama untuk Bentayga ini.
Sistem Launch Control juga diperkenalkan buat kali pertama, menambah lagi elemen pemanduan agresif yang jarang ditemui dalam sebuah SUV mewah.
Antara kemuncak prestasi Bentayga Speed ialah sistem ekzos sport yang kini menjadi kelengkapan standard, menawarkan bunyi enjin lebih lantang dan mengasyikkan.
Bagi mereka yang mahukan pengalaman audio automotif yang lebih dramatik, pilihan sistem ekzos Titanium Akrapovic disediakan, menampilkan empat paip ekzos dan tona bunyi lebih garang sesuai untuk penggemar prestasi tulen.
Penambahbaikan kepada sistem suspensi turut disertakan dan mod Sport kini menawarkan kekerasan redaman tambahan sebanyak 15% berbanding Bentayga V8 biasa.
Ini digandingkan dengan sistem ‘brake torque vectoring’ yang lebih responsif dan pilihan brek karbon seramik bagi mereka yang mahukan kuasa membrek maksimum serta pemanduan lebih terkawal ketika selekoh berkelajuan tinggi.
Bagi meningkatkan lagi kelincahan pemanduan, Bentayga Speed kini dilengkapi sistem stereng semua roda yang mana teknologi ini membolehkan tayar belakang berpusing mengikut situasi pada kelajuan rendah atau ketika membuat pusingan tajam seperti pusingan-U.
Tayar belakang berpusing bertentangan arah dengan tayar hadapan dan kesannya, kenderaan menjadi lebih mudah dikendalikan dengan jejari pusingan lebih kecil, menjadikan pergerakan di ruang sempit lebih cekap dan responsif.
Daripada sudut reka bentuk, Bentayga Speed menonjol dengan penampilan agresif lebih gelap termasuk lampu utama dan belakang berwarna kelabu, kemasan krom gelap dan logo Speed yang eksklusif.
Ia turut dipadankan dengan roda bersaiz 22 inci adalah ciri standard namun kini tersedia roda 23-inci (buat pertama kali bagi Bentley) yang digandingkan dengan brek karbon seramik, menawarkan pilihan kemasan satin kelabu, hitam, atau kemasan mesin yang lebih menyerlah.
Satu lagi ciri kosmetik baharu ialah pilihan bumbung hitam (Speed Black Roof), yang boleh dipilih dalam kemasan gloss atau satin bergantung kepada warna badan termasuk juga spoiler pintu belakang yang dicat tona yang sama, menjadikan imej keseluruhan lebih maskulin dan garang.
Masuk ke dalam kabin, tema prestasi berterusan dengan kehadiran sulaman logo ‘Speed’, paparan instrumen spesifik Speed dan rekaan Precision Diamond quilt pada tempat duduk serta panel pintu.
Warna kemasan dalaman juga lebih berani, dengan gabungan kontra warna utama dan sekunder yang menekankan sisi sporty tanpa meninggalkan elemen mewah yang sinonim dengan Bentley.
Ciri ventilasi udara jenis ‘bullseye’ dan tombol ‘organ stop’ sebagai ikon klasik Bentley turut diberikan kemasan gelap untuk memberikan sentuhan moden yang selari dengan DNA jentera ini.
Selain itu, pelanggan boleh memilih kemasan angkup brek dalam tujuh warna berbeza, sama ada untuk brek standard mahupun karbon seramik.
Mod pemanduan Comfort dan Bentley dikekalkan untuk keselesaan maksimum dalam perjalanan jauh atau dalam bandar namun sebaik sahaja SPORT mode diaktifkan, karakter sebenar Bentayga Speed terserlah dengan lebih ‘ganas’ dan menggoda yang dibina bukan hanya untuk dinikmati, tetapi untuk dikuasai.
© New Straits Times Press (M) Bhd