PENGENDALI Liverpool, Arne Slot menyifatkan keputusan Mohamed Salah untuk melanjutkan kontraknya sehingga 2027 sebagai isyarat jelas mengenai cita-cita besar kelab itu dalam terus memburu kejuaraan musim depan.
Kontrak baharu penyerang Mesir itu sekali gus menamatkan spekulasi mengenai masa depannya yang hangat diperkatakan sejak September lalu apabila beliau memberi bayangan musim ini mungkin yang terakhir bersama The Reds.
Slot percaya kehadiran Salah dalam skuad untuk tiga musim lagi bukan sahaja mengukuhkan pasukan dari segi pengalaman dan kualiti, malah memudahkan usaha untuk menarik pemain baharu ke Anfield.
“Ini membuktikan kami masih dahagakan kejayaan dan Salah percaya kami mampu mencapainya. Ia satu perkembangan yang amat positif,” kata Slot.
“Jika saya berada di tempat pemain yang sedang dipertimbangkan untuk ditandatangani, keputusan Salah ini pastinya menjadi faktor penarik. Ia mencerminkan betapa seriusnya kelab ini untuk kekal kompetitif.”
Menurut Slot, kesinambungan pemain utama seperti Salah memberi keyakinan bahawa Liverpool masih menjadi destinasi utama buat pemain berprofil tinggi.
“Ia bukan hanya tentang Salah, tetapi juga sokongan penuh daripada pemilik kelab dan barisan pemain yang telah dibawa masuk sejak musim panas lalu. Semuanya menunjukkan kami komited beraksi di tahap tertinggi,” tambahnya.
Dalam pada itu, Slot turut ditanya mengenai status lanjutan kontrak kapten pasukan, Virgil van Dijk yang kini menghampiri penghujung kontraknya bersama kelab.
Laporan media tempatan mengaitkan Van Dijk dengan lanjutan kontrak dua tahun, namun Slot memilih untuk tidak mengulas lanjut.
“Saya pasti anda tahu jawapannya. Kami hanya akan bercakap mengenainya apabila semuanya sudah rasmi. Namun saya amat berpuas hati dengan prestasi Van Dijk musim ini – dia luar biasa,” jelasnya.
OR