Lapan pasukan sudah memadai

Lapan pasukan sudah memadai


firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Main saja lapan pasukan dan buat selama empat pusingan untuk semusim”.

Itu pandangan pemerhati bola sepak, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim yang menyifatkan lapan pasukan sudah memadai daripada mengekalkan jumlah 13 pasukan ketika ini.

Katanya, soal kualiti perlu diberi perhatian daripada memikirkan soal kuantiti termasuk membenarkan kelab yang menghadapi masalah kewangan beraksi semata-mata untuk menambah jumlah perlawanan.

Jelas Tenaga Pengajar Elit Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) itu lagi, disebabkan terdapatnya beberapa syarat ditetapkan bagi melayakkan kelab Malaysia beraksi di saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) atau ACL II, perkara itu boleh diubah suai mengikut keadaan liga tempatan.

Contohnya, AFC mensyaratkan pasukan yang mahu bertanding di peringkat kelab Asia harus memastikan kelab tempatan di negara masing-masing berlangsung selama lapan bulan semusim selain sesebuah kelab itu perlu mengharungi minimum 27 aksi kompetitif di peringkat domestik.

“Kalau hanya ada lapan pasukan saja, liga boleh dibuat secara empat pusingan bermakna, dua perlawanan di tempat sendiri dan dua lagi di tempat lawan.

“Cara itu membolehkan satu pasukan mengumpul 28 perlawanan dalam liga untuk semusim. Kalau itu saja caranya, buat sajalah. Sebab kita nak pastikan kelab Malaysia terus berada dalam saingan peringkat AFC.

“Jadi dalam tempoh ini, pihak-pihak bertanggungjawab perlu perbaiki dan atasi apa masalah yang menyebabkan isu ini berlaku supaya kita dapat tambah balik pasukan dalam liga utama di tahun-tahun ke depan,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, beberapa pasukan menyatakan hasrat untuk menarik diri ekoran masalah kewangan dihadapi.

Antaranya Perak FC dan Sri Pahang FC selain Kedah Darul Aman FC dan Kelantan Darul Naim FC yang yang sedang menghadapi isu tunggakan gaji cukup kronik babitkan hutang jutaan ringgit, sekali gus dijangka tidak akan menerima Lesen Kebangsaan musim depan.

Untuk rekod, beberapa kelab sebelum ini berkubur ekoran isu sama babitkan Sarawak United, Melaka United, Kelantan FC, Petaling Jaya City FC, UiTM FC dan UKM FC yang tidak mampu mengharungi saingan Liga Malaysia ekoran kos operasi tinggi.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top