Senarai lapan pemain negara yang akan bergabung dengan Territory Stingers pada Festival Hoki Antarabangsa Darwin, Australia hujung bulan ini. Foto: Malaysian Hockey Confederation
LAPAN pemain hoki negara bakal bergabung dengan Territory Stingers pada Festival Hoki Antarabangsa Darwin, Australia hujung bulan ini hasil jalinan kerjasama Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) bersama Northern Territory.
Kerjasama itu bukan sahaja melibatkan penyertaan dalam TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2025, malah membuka ruang besar buat pemain tempatan menimba pengalaman beraksi bersama kelab antarabangsa menentang pasukan elit dunia.
Ketua Pegawai Eksekutif KHM, V Jayanandhan menyifatkan langkah itu sebagai perkembangan sihat untuk pembangunan hoki Malaysia selain memberi impak positif kepada pemain yang berpeluang tampil di pentas lebih tinggi.
“Saya berharap lebih banyak kerjasama seperti ini dapat diteruskan kerana ia bukan sahaja menguntungkan KHM, malah bermanfaat kepada pemain kebangsaan.
“Karnival ini bukan sekadar peluang buat pemain senior, tetapi juga medan pengalaman berharga untuk pemain muda,” katanya yang turut menghargai kesediaan Northern Territory menanggung sepenuhnya kos penyertaan lapan pemain Malaysia ke Darwin.
Skuad gabungan Malaysia–Stingers dijadual berdepan The Black Sticks (New Zealand) pada 30 Ogos dan sekali lagi pada 1 September di Marrara Hockey Centre, Darwin, sebagai sebahagian daripada program festival berkenaan.
Antara lapan pemain Malaysia yang dipilih ialah penjaga gol, Adrian Andy Albert, bersama Abdul Khaliq Hamirin, Mughin Mohamad Kamal, Che Nur Aqilrullah Che Mohd Khairulzi Anwar, Amanraj Singh, Mohammad Nor Syakir Hafiz, Muhammad Hafiezuddin Mohd Ali, dan Yashvindraa Singaravadivel.
Festival Darwin ini juga menjadi pentas persediaan menjelang Piala Oceania pada September depan yang bakal menawarkan tiket ke Piala Dunia Hoki 2026.