July 27, 2024

Lapan peristiwa penting dalam bulan Syawal

Lapan peristiwa penting dalam bulan Syawal


Banyak perang berlaku ketika bulan Syawal. (GAMBAR HIASAN)
– Advertisement –

BULAN Syawal merupakan antara bulan yang diistimewakan oleh Allah SWT. Bulan ini juga menyaksikan perjuangan golongan muslimin menentang musuh yang tidak mahu melihat Islam berkembang. Antara peristiwa berkenaan ialah seperti berikut:

Kelahiran Abdullah bin Az-Zubair RA
Abdullah bin Az-Zubair atau Ibnu Az-Zubair adalah anak kepada Az-Zubair bin Awwam dan Asma’ binti Abu Bakar. Beliau merupakan bayi pertama muhajirin yang dilahirkan di Madinah. Az-Zubair juga adalah anak saudara kepada isteri pertama Nabi Muhammad SAW, iaitu Khadijah binti Khuwailid RA. Beliau juga dipanggil dengan sebutan Abu Bakar dan ada pula yang menyebutnya Abu Khubaib.

– Advertisement –

Perang Bani Qainuqa’
Perang ini berlaku pada Syawal tahun ke-2 hijrah akibat kebencian kaum Yahudi terhadap kemenangan Muslimin terhadap orang Quraisy dalam perang Badar.

Pada tahun ke-2 hijrah juga, Nabi Muhammad SAW bernikah dengan Saidatina Aisyah RA, iaitu puteri kepada Abu Bakar As-Siddiq RA. Aisyah bukan sahaja wanita yang berakhlak baik, bahkan memiliki ilmu yang sangat luar biasa. Beliau banyak menyebarluaskan ilmu agama kepada umat Islam.

Perang Uhud
Perang Uhud berlaku pada 7 atau 11 Syawal tahun ketiga hijrah. Perang ini berlaku kerana dendam kaum kafir Quraisy terhadap orang Islam yang mengalahkan mereka ketika Perang Badar dan mengorbankan sebilangan besar tokoh pembesar mereka.

Dinamakan Perang Uhud kerana berlaku di sebuah tempat yang dikelilingi Bukit Uhud. Bukit ini dikatakan panjang antara enam hingga tujuh kilometer. Panglima tentera Islam dalam Perang Uhud ialah Nabi Muhammad SAW sendiri, manakala panglima perang bagi tentera Quraisy dan sekutunya ialah Abu Sufyan bin Harb.

Perbezaan kekuatan tentera antara kedua pihak sangat ketara. Kekuatan tentera Islam pada asalnya seramai 1,000 orang, namun akibat hasutan Abdullah bin Ubai (ketua munafik), 300 orang tentera berpatah balik ke Madinah. Tentera musyrikin Quraisy pula seramai 3,000 orang, termasuk 200 tentera berkuda. Tentera Muslim kalah dalam perang ini.

Pernikahan Rasulullah SAW dan Umu Salamah
Pernikahan Nabi Muhammad SAW dan Ummu Salamah RA yang nama lengkapnya ialah Hindun binti Hudzaifah (Abu Umayyah) bin Mughirah bin Abdullah bin Amr bin Makhzum, dari Bani Makhzum. Salamah adalah nama putranya. Beliau berstatus janda ketika dinikahi Rasulullah SAW.

Seorang wanita terhormat, berhijab dan suci. Beliau merupakan sepupu kepada Khalid bin Al-Walid yang digelar Saifullah (Pedang Allah) dan Abu Jahal bin Hisyam. Ummu Salamah juga wanita pertama yang berhijrah ke Madinah.

Perang Khandak
Perang Khandak berlaku pada bulan Syawal 5 Hijrah. Khandak bermaksud parit yang digali, tetapi tiada air dan dibina sebagai strategi perang yang telah diarahkan oleh Rasulullah SAW hasil cadangan seorang sahabat bernama Salman Al-Farisi RA.

Dinamakan juga sebagai Perang Al-Ahzab kerana tentera Islam berhadapan gabungan tentera musuh yang sangat ramai, iaitu dianggarkan seramai 10,000 tentera. Jumlah ini lebih besar berbanding seluruh penduduk Madinah, termasuk wanita, orang tua dan kanak-kanak.

Perang Hunain
Perang ini berlaku pada bulan Syawal tahun 8 hijrah di lembah Hunain yang menjadi penghubung kota Makkah dan Thaif. Perang ini disertai oleh 12,000 tentera, iaitu 10,000 penduduk kota Madinah dan 2,000 dari kota Makkah. Pasukan musuh pula seramai 20,000 tentera.

Menurut Syeikh Dr Said Ramadan al-Buti dalam kitab Sirah Nabawiyah, pertempuran Hunain adalah pertempuran antara Nabi Muhammad SAW dan umat Islam melawan kaum Badwi dari suku Hawazin dan Tsaqif. Pertempuran ini berakhir dengan kemenangan bagi golongan Muslimin. Mereka berjaya memperolehi rampasan perang yang banyak. Pertempuran Hunain disebut dalam al-Quran iaitu dalam Surah At-Taubah ayat 25 – 27.

Perang Taif
Nama lain Perang Taif ialah Perang Hawazin. Perang ini berlaku rentetan Perang Hunain apabila pasukan kaum Quraisy yang kalah melarikan diri ke kota Taif.

Ketika perang ini, Rasulullah SAW menggunakan strategi perang yang berbeza apabila melihat tentera Islam tidak dapat menembus benteng kota yang kukuh. Baginda mengubah taktik perang dengan menyekat seluruh kawasan di wilayah Taif selama lebih 20 malam. Penduduk Taif menyerah dan menyatakan keinginan untuk bergabung dengan pasukan Islam.

Kelahiran Imam Al-Bukhari
Imam Al-Bukhari lahir pada 13 Syawal 194 Hijrah (Jumaat) di kota Bukhara, Uzbekistan. Beliau wafat pada 1 Syawal 256 Hijrah (malam hari raya Aidilfitri) (Rujukan: Syekh Ahmad Bilal, As-Sirajul Munir fi Alqabil Muhadditsin). – HARAKAHDAILY 5/5/2024

– Advertisement –



Source link

OR

Scroll to Top