Lapang sasar, tanah milik ATM dikenal pasti untuk bangunkan projek SASaR

Lapang sasar, tanah milik ATM dikenal pasti untuk bangunkan projek SASaR


rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kawasan lapang sasar lama dan tanah milik Kementerian Pertahanan (MINDEF) di seluruh negara akan dikenal pasti untuk pembangunan projek perumahan Satu Anggota Satu Rumah (SASaR).

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, banyak tanah berkenaan kini dikelilingi oleh kawasan pembangunan perumahan awam, menyebabkan fungsinya sebagai lapang sasar tidak lagi sesuai untuk digunakan.

Menurutnya, sekiranya tiada tindakan segera untuk menukar status tanah berkenaan, ia berisiko akan diambil alih oleh pihak atau kementerian lain bagi tujuan pembangunan.

“Daripada tanah milik ATM (Angkatan Tentera Malaysia) itu terlepas kepada pihak lain, lebih wajar tanah itu kita tukar untuk dijadikan projek rumah SASaR supaya banyak anggota berpeluang untuk membeli rumah.

“Setakat ini kita sudah kenal pasti tanah yang sesuai… ada dua hingga tiga, kita tidak akan (ada) terlalu banyak sebab kita bukan Kementerian Perumahan. tapi kita akan pertimbang tengok pada kesesuaian,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kunci SASaR Residensi Sateria, Sungai Besi di sini, hari ini.

Mengulas mengenai projek Residensi Sateria, Mohamed Khaled berkata, ia projek SASaR pertama yang berjaya disiapkan sepenuhnya membabitkan seramai 3,500 penerima kunci.

Katanya, projek itu sebagai satu bentuk intervensi kerajaan yang amat penting bagi membolehkan anggota tentera memiliki kediaman sendiri pada harga lebih rendah berbanding nilai pasaran.

“Harga rumah melalui projek ini semuanya ditawarkan pada harga mampu milik sekitar RM150,000 sehingga RM250,000. Jauh lebih murah berbanding harga pasaran. Jika tidak ada intervensi ini, tidak mungkin anggota kita boleh berpeluang untuk beli rumah,” katanya.

Tambahnya, pihaknya akan membangunkan projek perumahan SASaR seterusnya di kawasan lain termasuk di Kem Wardieburn dan Setapak.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top