Laporan khas Harian Metro rangkul Anugerah Laporan Media Cetak Terbaik Perkeso

Laporan khas Harian Metro rangkul Anugerah Laporan Media Cetak Terbaik Perkeso


lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Laporan khas Harian Metro mengenai perlindungan sosial kepada golongan suri rumah diangkat sebagai penerima Anugerah Laporan Media Cetak Terbaik sempena Anugerah Media Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) 2025, di sini, malam ini.

Laporan berita dihasilkan wartawan Harian Metro, Mohd Alhafiz Ithnin bertajuk ‘Tiga Juta Jadi Suri Rumah Di Malaysia’ yang disiarkan pada 10 dan 11 Ogos lalu itu mengupas taraf pendidikan terkini suri rumah, dasar kerajaan serta perlindungan yang diberikan kepada wira di sebalik pembangunan modal insan negara.

Selain menyentuh tiga elemen berkenaan, laporan beliau turut menyerlahkan sokongan psikologi yang diperlukan oleh suri rumah serta cadangan daripada badan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Suri Rumah Rahmah (SRR) bagi menambah baik kelestarian golongan itu.

Malah, Mohd Alhafiz juga mendedahkan mengenai pendekatan kerajaan dalam melindungi golongan suri rumah dan Malaysia antara negara ke hadapan di rantau Asia Tenggara yang menitikberatkan golongan berkenaan menerusi pelbagai dasar.

Anugerah itu membolehkan beliau membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM3,000, plak dan sijil.

Sementara itu, jurugambar New Straits Times Press (NSTP), Mohd Aizuddin Akmal Saad menerima sagu hati kategori Anugerah Laporan Fotografi Terbaik, sekaligus membawa pulang hadiah RM1,000, plak serta sijil.

Hadiah disampaikan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Steven Sim ketika berucap, menyifatkan media sebagai ‘the fourth estate’ atau kuasa keempat yang mempunyai daya pengaruh berimpak tinggi dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, laporan media mengenai rangkaian usaha Perkeso berupaya meningkatkan kepentingan jaringan keselamatan sosial, khususnya dalam mendepani kesan perubahan demografi dan menangani jurang dalam sektor tidak formal di Malaysia.

“Dalam ruang lingkup ini, keadilan sosial menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (LINDUNG Kendiri) dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (LINDUNG Kasih) amat penting, namun memerlukan peningkatan kesedaran dalam kalangan masyarakat.

“Di sinilah peranan media yang mempunyai pengaruh signifikan supaya masyarakat cakna terhadap kepentingan keselamatan sosial dan hak mereka sebagai pencarum,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top