Larangan arak di institusi pendidikan: Lindungi akal dan generasi

Larangan arak di institusi pendidikan: Lindungi akal dan generasi


ISU penghidangan arak di dalam kawasan sekolah baru-baru ini menimbulkan keresahan masyarakat.

Walaupun ada pihak berpendapat acara tersebut diadakan selepas waktu persekolahan dan tidak melibatkan pelajar, hakikatnya tindakan itu tetap menjejaskan imej sekolah sebagai institusi ilmu dan pembentukan sahsiah.

Sekolah seharusnya menjadi tempat suci daripada sebarang aktiviti yang bercanggah dengan nilai moral, agama dan kesihatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri menegaskan di Dewan Rakyat bahawa tindakan menggunakan dewan sekolah untuk pesta arak jelas melanggar peraturan dan tidak wajar berlaku di institusi pendidikan.

Teguran ini kemudiannya mendapat pelbagai reaksi, termasuk daripada tokoh politik tertentu yang melihat kenyataan itu seolah-olah mencampuri “amalan sedia ada” di sekolah jenis kebangsaan Cina.

Namun, perlu difahami bahawa isu ini bukan soal kaum, budaya atau hak komuniti tertentu tetapi soal prinsip dan tanggungjawab moral dalam menjaga kesucian institusi pendidikan.

Sekolah merupakan tempat mendidik anak bangsa menjadi insan berilmu dan berakhlak.

Justeru, membenarkan arak dihidangkan di dalam premis sekolah walau atas alasan “selepas waktu sekolah” tetap mencemarkan nilai pendidikan dan memberi mesej yang salah kepada pelajar.

Arak rosakkan akal, jejas moral

Dalam Islam, larangan arak mempunyai asas yang kukuh. ALLAH SWT berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, berhala dan undi nasib adalah najis daripada perbuatan syaitan. Maka jauhilah ia supaya kamu beroleh kejayaan.” (Surah al-Ma’idah: 90)

LINDUNGI generasi muda daripada perkara-perkara yang merosakkan akal. Foto Canva

Larangan ini berkait rapat dengan Maqasid Syariah khususnya dalam menjaga akal (hifz al-‘aql), salah satu daripada lima objektif utama syariat Islam.

Arak merosakkan keupayaan berfikir, menurunkan moral dan menjejaskan kesihatan fizikal serta spiritual manusia.

Islam bukan sahaja melarang meminumnya, tetapi juga segala bentuk normalisasi terhadap arak, termasuk menjadikannya bahan hiburan atau simbol sosial.

Dari perspektif kesihatan awam, arak terbukti memberi kesan buruk kepada individu dan masyarakat.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan bahawa alkohol menyumbang kepada lebih 200 jenis penyakit dan kecederaan termasuk kanser hati, penyakit jantung, gangguan mental selain antara punca kemalangan jalan raya.

Statistik juga menunjukkan kadar jenayah dan keganasan rumah tangga meningkat seiring dengan penggunaan alkohol.

Maka, jelaslah bahawa arak bukan sekadar isu agama, tetapi krisis kesihatan dan sosial yang memberi kesan luas kepada negara. Institusi pendidikan seharusnya bebas daripada unsur yang merosakkan nilai dan moral pelajar.

Bukan norma budaya sosial

Arak tidak boleh dianggap sebahagian daripada norma “budaya sosial” walaupun dalam konteks komuniti tertentu, apatah lagi apabila ia berlaku di dalam fasiliti sekolah yang dibiayai sebahagiannya oleh kerajaan.

Dalam negara majmuk seperti Malaysia, garis panduan moral dan undang-undang perlu berpaksikan prinsip universal iaitu menjaga kesejahteraan masyarakat dan mengelakkan kemudaratan kepada generasi muda.

Tanggungjawab pihak sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia dan pihak berkuasa tempatan amat besar dalam memastikan setiap program di sekolah mematuhi nilai pendidikan dan tidak bercanggah dengan prinsip kesihatan awam mahupun moral.

PELBAGAI kemudaratan dapat dilihat daripada orang yang mabuk selepas minum arak termasuk kemalangan jalan raya yang mengorbankan nyawa tidak bersalah. Foto Canva

PELBAGAI kemudaratan dapat dilihat daripada orang yang mabuk selepas minum arak termasuk kemalangan jalan raya yang mengorbankan nyawa tidak bersalah. Foto Canva

Kelonggaran seperti membenarkan Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) menentukan sendiri dasar penggunaan dewan perlu dikaji semula agar tidak menimbulkan kekeliruan atau penyalahgunaan.

Pendidikan merupakan wadah membentuk masa depan. Jika institusi pendidikan mula berkompromi terhadap perkara yang dilarang dan memudaratkan, maka ia bukan lagi tempat melahirkan generasi berilmu dan berakhlak, tetapi ruang yang menormalisasi kerosakan nilai.

Rasulullah SAW bersabda: “Setiap perkara yang memabukkan itu adalah arak dan setiap arak itu adalah haram.” (Hadis Riwayat Muslim)

Justeru, larangan arak di sekolah tanpa mengira jenis atau aliran bukanlah sekatan terhadap budaya, tetapi langkah melindungi akal dan generasi.

Ia selaras dengan Maqasid Syariat dan nilai sejagat yang menuntut agar pendidikan kekal sebagai ruang yang suci, aman dan mendidik insan seutuhnya agar berilmu, berakhlak serta berakal sihat.

***Penulis, PROF MADYA DR ABDUL RAHMAN RAMDZAN merupakan Pensyarah Kanan Perubatan dan Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Jabatan Perubatan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Malaysia Sabah.



Source link

OR

Scroll to Top