nfazlina@nstp.com.my
Rantau Panjang: Kehadiran murid dan pelajar sekolah yang tinggal di Golok, Thailand, selepas menggunakan pintu masuk sah Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang sejak Disember lalu masih baik dan positif.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Datuk Mohd Zamri Abdul Aziz berkata, kesemua pelajar yang tinggal di Thailand juga sudah menggunakan laluan sah selain ada yang tinggal di asrama.
“Setakat ini, kehadiran amat positif walaupun mereka berulang alik menggunakan ICQS. Kehadiran mereka masih sama kecuali ketika banjir baru-baru ini.
“Saya dimaklumkan kita tidak berdepan sebarang isu tentang kehadiran mereka ke sekolah. Bagi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mereka berada di asrama.
“Alhamdulillah, kesemua pelajar yang tinggal di Golok akur dengan arahan dan keluar masuk melalui laluan sah. Kita juga berterima kasih kepada semua agensi terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra bersama 189 calon SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, polis Kelantan akan menahan sesiapa yang menggunakan pangkalan haram untuk menyeberangi sempadan negara dan Thailand di sepanjang Sungai Golok, berkuat kuasa 1 Disember lalu.
Sehingga kini, sejumlah 13 individu ditahan sepanjang larangan rentas sempadan menggunakan pangkalan haram itu dilaksanakan.
© New Straits Times Press (M) Bhd