Larangan guna telefon bimbit ketika bertugas bantu banteras sindiket counter setting, pasport terbang.

Larangan guna telefon bimbit ketika bertugas bantu banteras sindiket counter setting, pasport terbang.


mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Cadangan melarang pegawai penguat kuasa membawa telefon bimbit ketika bertugas wajar dikuatkuasakan bagi membantu banteras kegiatan sindiket ‘counter setting’ dan ‘pasport terbang’.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata, cadangan itu yang dikemukakan pihaknya sebelum ini masih dilihat relevan dan perlu dikuatkuasakan segera.

Untuk itu, katanya, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, bagi membincangkan isu berkenaan.

“Pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang terbabit dalam kegiatan sindiket ‘counter setting’ dan ‘pasport terbang’ perlu dikenakan tindakan tegas termasuk dipecat.

“Tindakan tegas adalah langkah terbaik bagi memastikan integriti pegawai yang bertugas di pintu masuk dan keluar negara sentiasa terpelihara,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Azam berkata, jika mana-mana pegawai didapati bersalah terbabit dengan aktiviti itu, langkah yang wajar adalah mengusir mereka daripada jabatan.

“Sindiket dipercayai menerima bayaran antara RM5,00 hingga RM2,000 bergantung kepada negara yang terlibat dalam aktiviti ‘pasport terbang’.

“Isu utama yang timbul di sini adalah tahap integriti pegawai-pegawai yang terlibat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya sedia bekerjasama dan berkongsi maklumat dengan AKPS membabitkan isu ‘counter setting’ dan ‘pasport terbang’ di pintu masuk negara.

Katanya, tahun lalu pihaknya bekerjasama dan melakukan tangkapan ke atas lebih 50 anggota yang disyaki terlibat dengan kegiatan ‘counter setting’.

“Bermula Januari lalu, AKPS telah mengambil alih fungsi dan kawalan pintu masuk, jadi pemantauan kini di bawah tanggungjawab agensi terbabit.

“Bagaimanapun, tahun lalu Imigresen ada ambil tindakan dalam menangani isu ini, jadi kita sedia berkongsi maklumat sekiranya diperlukan,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan empat pegawai penguat kuasa yang disyaki menerima rasuah kira-kira RM3,000 bagi kegiatan ‘pasport terbang’ di kaunter penyeliaan zon masuk motosikal di sempadan Johor-Singapura, direman enam hari.

Perintah reman ke atas semua suspek berusia lingkungan 20 hingga 40an itu sehingga 1 Ogos ini dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Mohammad Izham Mohd Aliyas.

Dua suspek utama ditahan Unit Pematuhan AKPS ketika pemeriksaan dilakukan di kaunter kelmarin, manakala dua lagi ditahan susulan penahanan pertama.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top