harisfadli@hmetro.com.my
Shah Alam: Belum sempat ‘beri salam’ sekumpulan warga asing bertempiaran lari sejurus melihat kehadiran kenderaan milik Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Kemunculan kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki pegawai JIM Selangor itu menimbulkan kegerunan dalam kalangan warga asing walaupun kehadiran mereka sekadar membuat rondaan omnipresent di sini, semalam.
Wartawan yang mengikuti operasi bermula 11 pagi mendapati ramai warga asing berlari ‘tak cukup tanah’ hanya selepas melihat kenderaan rasmi JIM sebelum sempat pegawai bertugas turun dari kenderaan.
Harian Metro difahamkan, lebih 80 warga asing pelbagai warga negara diperiksa dalam operasi diadakan di Pasar Pagi Taman Sri Muda dan di kawasan komersial sekitar Seksyen 15 di sini yang menjadi tumpuan migran menghabiskan masa cuti bersama rakan sekampung.
Rata-rata warga asing ditemui mengaku bekerja dalam sektor perkilangan dan pembinaan sekitar kawasan berkenaan.
Ramai di antara mereka yang memiliki dokumen lengkap tidak melarikan diri kerana sudah biasa dengan pemeriksaan pihak JIM dan lazimnya memberikan kerjasama.
Terdahulu Harian Metro melaporkan 200 warga asing diperiksa di Selangor menerusi Ops Omnipresent bermula Jumaat sehingga semalam.
Operasi berkenaan dilaksanakan secara berterusan melalui rondaan dan pemeriksaan berkala di lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan panas (hot spot).
Pengarah JIM Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin dilapor berkata dua pasukan khas diatur gerak bagi melaksanakan pemantauan sepanjang Aidilfitri.
© New Straits Times Press (M) Bhd






