BARCELONA: Sambutan ulang tahun ke-125 Barcelona bertukar menjadi tragedi apabila pendahulu La Liga itu tewas mengejut kepada Las Palmas 1-2, lewat malam tadi.
Pada aksi yang berlangsung di Estadi Olimpic Lluis Companys itu, Fabio Silva meranapkan impian Barca apabila menjaringkan gol kemenangan sekali gus membawa pasukan Sepanyol itu kemarau kemenangan dalam tiga perlawanan liga berturut-turut.
Sandro Ramirez membuka jaringan untuk Las Palmas pada minit ke-49 menerusi rembatan kencang sekali gus menewaskan penjaga gawang, Inaki Pena.
Tersentak dengan jaringan itu, Barca kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-60 apabila Raphinha meledak gol ke gawang Las Palmas.
Barcelona kini kekal di tangga teratas dengan 34 mata dan hanya dibezakan dengan empat mata menerusi pencabar terdekat, Real Madrid yang mempunyai dua perlawanan dalam tangan.
Kemenangan unggul Las Palmas menyaksikan mereka melonjak tangga ke-14 dengan 15 mata. – AGENSI