Ketika landskap keselamatan dunia terus berubah dan cabaran geopolitik semakin kompleks, Malaysia dan Vietnam memilih untuk memperkukuh hubungan pertahanan sebagai langkah memastikan kestabilan rantau Asia Tenggara terus terpelihara.
Bertempat di Hanoi, satu lagi lembaran kerjasama strategik kedua-dua negara dicorakkan menerusi Lawatan Kerja Rasmi Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin ke Republik Sosialis Vietnam pada 5 hingga 6 Ogos 2026.

Lawatan kerja rasmi ke Hanoi itu membawa makna lebih besar daripada sekadar pertemuan antara dua negara. Ia menjadi kesinambungan komitmen Malaysia dan Vietnam untuk memperkukuh hubungan pertahanan yang dibina selepas Memorandum Persefahaman Kerjasama Pertahanan diperbaharui pada 4 November 2023.

Di sebalik meja rundingan, kedua-dua pihak memperhalusi hala tuju kerjasama strategik yang merangkumi latihan ketenteraan, pembangunan kapasiti pegawai serta keselamatan maritim tiga aspek penting dalam memastikan kesiapsiagaan pertahanan terus diperkasa.
Siri pertemuan dimulakan menerusi kunjungan hormat Mohamed Khaled ke atas Perdana Menteri Republik Sosialis Vietnam, Le Minh Hung pada 5 Ogos 2026.
Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Vietnam, TYT Lê Minh Hưng. Mereka bertukar pandangan mengenai cabaran pertahanan semasa, termasuk persaingan kuasa besar, aktiviti “grey zone”, ancaman siber, AI, “cognitive warfare” dan gangguan rantaian bekalan.
Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak membincangkan perincian kerjasama teknikal termasuk penyelarasan kursus dan latihan pegawai tentera, selain memperkukuh kerjasama keselamatan maritim yang menjadi antara kepentingan bersama kedua-dua negara.
Malaysia dan Vietnam turut menegaskan komitmen terhadap platform ASEAN Defence Ministers’ Meeting (ADMM) dan ADMM-Plus bagi memastikan kerangka kerjasama pertahanan pelbagai hala itu terus relevan selari dengan prinsip Kepusatan ASEAN.
Tidak berhenti di situ, Mohamed Khaled turut mengadakan mesyuarat dua hala bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Vietnam, Jeneral Phan Văn Giang.
Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Vietnam, TYT Jeneral Phan Văn.

Pertemuan itu menjadi medan kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai dinamik keselamatan global dan serantau, selain meneroka ruang baharu untuk memperkukuh hubungan pertahanan antara Malaysia dan Vietnam.
Antara fokus utama yang dipersetujui ialah mempertingkat pembangunan kapasiti pegawai tentera menerusi pertukaran latihan yang lebih aktif dan konsisten.

Dalam masa sama, pihak Vietnam turut menyokong penegasan Malaysia mengenai kepentingan meneruskan kerjasama maritim sedia ada bagi memastikan Asia Tenggara kekal sebagai rantau yang aman, saling menghormati serta mematuhi undang-undang antarabangsa.

Kerjasama yang diperkukuh ini bukan sahaja mencerminkan hubungan baik antara Kuala Lumpur dan Hanoi, malah menjadi sebahagian daripada usaha lebih besar untuk mempertingkat keselamatan negara dan kestabilan serantau.
Selari dengan aspirasi Pelan Strategik Pertahanan Negara 2026–2030 menerusi Teras 6: Pengukuhan Hubungan Pertahanan Antarabangsa Dalam Menjamin Kedaulatan Negara, diplomasi pertahanan Malaysia terus diperkasakan melalui perkongsian strategik bersama negara sahabat.
Daripada meja rundingan di Hanoi kepada usaha memperkukuh latihan serta kerjasama maritim, Malaysia dan Vietnam kini mengorak langkah bersama dalam membina asas pertahanan yang lebih kukuh demi keamanan rantau.






