Skuad negara diharap dapat bertemu pasukan di ranking lebih baik dalam sebarang aksi persahabatan. Foto MALAYSIA NT
HARIMAU Malaya perlu sentiasa berdepan pasukan di ranking yang lebih baik pada perlawanan persahabatan dalam usaha memastikan skuad negara dapat meningkatkan kualiti permainan.
Legenda bola sepak negara, Datuk Zainal Abidin Hassan berkata, pertembungan menentang pasukan di ranking dunia yang lebih baik memberi impak positif kepada rentak pemain negara.
Mengambil contoh aksi menentang Cape Verde pada 29 Mei lalu, Zainal menyifatkan mutu permainan tinggi yang dipamerkan skuad kendalian Peter Cklamovski ketika seri menentang pasukan ranking ke-72 dunia itu berjaya membentuk momentum pasukan dan membetulkan sebarang kelemahan yang ada.
Menurutnya, meskipun tewas pada aksi kedua yang dilangsungkan secara tertutup, ia tetap memberi pengajaran berguna kepada pemain dan terbukti apabila Harimau Malaya berjaya membelasah Vietnam dalam aksi Kelayakan Piala Dunia di Bukit Jalil beberapa hari kemudian.
“Bagi saya satu permulaan yang baik apabila kita bermain dengan Cape Verde. Saya berada (di stadium) dan saya lihat satu mutu permainan bola sepak yang tinggi dan sedikit sebanyak ini memberi kesan apabila kita menentang pasukan Vietnam.
“Jadi dengan lebihnya perlawanan sebegini…kerana saya melalui zaman-zaman ini di mana saya bermain dengan pasukan terbaik. Walaupun tewas tiga atau empat kali, di sinilah kita dapat pengajaran dan peningkatan,” katanya.
Menurutnya, skuad negara perlu terus memandang kehadapan terutama dalam merancang lawan yang dilihat mampu memberikan pendedahan dan perlawanan bermutu tinggi kepada Harimau Malaya.
“Jadi dengan adanya pasukan kebangsaan di satu tahap kita boleh beri pujian, saya rasa kita dah perlu memandang ke hadapan dan bermain dengan pasukan seperti Korea, Jepun atau pasukan-pasukan di Timur Tengah.
“Di sinilah kita akan teruskan untuk sampai ke satu tahap yang kita kehendaki. Perjalanan masih jauh, jadi inilah permulaan yang kita harus pandang ke depan,” ujarnya.