Lawan rakan sepasukan lebih tekanan – Haikal

Lawan rakan sepasukan lebih tekanan – Haikal


Haikal (kanan) dan Hon Jian bakal berdepan rakan senegara dalam aksi pusingan pertama Terbuka Thailand pada Selasa. Foto Agensi

PEMAIN beregu lelaki negara, Haikal Nazri kurang selesa jika berdepan rakan sepasukan dalam kejohanan yang disertai kerana mereka sudah boleh membaca permainan antara satu sama lain.

Justeru beliau tidak melihat ia sebagai kelebihan, sebaliknya masalah yang lebih besar buat dirinya bersama gandingannya, Choong Hon Jian untuk tampil dengan permainan lebih bertenaga untuk memburu kemenangan.

Tambahnya, persediaan mental juga perlu berada pada tahap optimum kerana ketika di gelanggang, perlu melihat lawan itu sebagai musuh utama agar sifat dahagakan kemenangan itu lebih tinggi.

“Kalau tanya, saya memang tidak suka lawan rakan sepasukan sendiri kerana masing-masing tahu kekuatan dan kelemahan. Ia memberikan tekanan yang lebih berat kepada kita untuk keluarkan permainan yang cemerlang.

“Sebab itu, berbanding jumpa rakan sepasukan, kami lebih rela lawan pasangan yang berada dalam ranking 10 terbaik dunia daripada perlu jumpa rakan sendiri kerana itu memerlukan semangat juang yang sangat tinggi,” katanya.

Hon Jian-Haikal akan menentang pasangan senegara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dalam saingan pusingan pertama Terbuka Thailand pada Selasa.

Sebagai rekod, mereka pernah bertemu pada Masters Malaysia tahun lalu dan keputusan memihak kepada Wei Chong-Kai Wun.

Dalam pada itu, mengulas kekalahan awal di Terbuka Taiwan minggu lalu, Haikal berharap dapat tampil dengan lebih baik dan mengelak daripada kecederaan serius agar dapat menyertai Masters Malaysia minggu depan.

“Saya tidak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi. Apa yang penting, saya mahu memastikan cabaran saya di Terbuka Thailand ini tanpa sebarang kecederaan,” ujar Haikal

Pemain berusia 23 tahun berasal dari Kelantan itu baru pulih daripada kecederaan pinggul sejak Disember lalu.

Masters Malaysia yang berstatus Super 500 dijadual berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil bermula 20 hingga 25 Mei ini.



Source link

OR

Scroll to Top