Muhamad Hasrulnizam (barisan belakang, tujuh dari kiri) bersama pemain dan barisan kejurulatihan SMK Hillcrest.
SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Hillcrest tidak gentar dengan reputasi penyandang juara, SMK Shah Alam menjelang aksi pembuka tirai Kumpulan A Kejohanan Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 15 (B-15) merebut Piala Sumbangsih di Padang Sentetik Majlis Bandaraya Shah Alam, Seksyen 19, pada Rabu.
Pengurus pasukan Hillcrest, Muhamad Hasrulnizam Mohamad berkata, pertemuan berdepan pasukan pilihan itu bakal menjadi medan terbaik untuk menguji tahap persediaan anak buahnya yang sudah dipersiapkan dengan pendekatan taktikal lebih tersusun.
“Kami amat menghormati reputasi SMK Shah Alam sebagai pasukan pilihan. Namun, bagi kami di Hillcrest, setiap perlawanan adalah peluang untuk membuktikan kemampuan sendiri.
“Persiapan kami lebih tertumpu kepada disiplin bertahan, kecergasan pemain serta penguasaan taktikal serangan balas pantas. Kami juga menekankan kekuatan mental supaya pemain tidak gentar dengan nama besar lawan.
“Fokus utama ialah memastikan setiap pemain memahami peranan masing-masing, bekerja sebagai satu unit, dan memanfaatkan peluang yang ada untuk memberi tentangan sengit sejak wisel pertama,” katanya kepada Sukan Sinar.
Mengulas mengenai kepentingan aksi sulung yang turut merebut Piala Sumbangsih, Muhamad Hasrulnizam menegaskan keputusan perlawanan pertama mampu memberi impak besar terhadap motivasi skuad muda Hillcrest sepanjang kejohanan.
“Perlawanan pembuka tirai ini sangat signifikan kerana ia bukan sekadar aksi biasa, tetapi perebutan trofi Sumbangsih.
“Jika kami dapat pamerkan prestasi meyakinkan, ia akan melonjakkan semangat pemain untuk mengekalkan momentum positif sepanjang kejohanan. Namun begitu, kami ingatkan mereka supaya tidak terlalu terikat dengan keputusan semata-mata.
“Yang lebih penting adalah corak permainan berpasukan, disiplin taktikal serta keyakinan diri yang konsisten untuk menghadapi baki perlawanan dengan semangat juang tinggi,” katanya lagi.
Saingan Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 mendapat tajaan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dengan Sinar Harian sebagai media rasmi kejohanan.
Ringkasan AI
- SMK Hillcrest tidak gentar menghadapi SMK Shah Alam, penyandang juara dalam Kejohanan Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 15
- Pengurus pasukan Hillcrest, Muhamad Hasrulnizam Mohamad, mengatakan pertandingan tersebut adalah peluang untuk menguji tahap persediaan mereka
- Fokus persiapan Hillcrest tertumpu kepada disiplin bertahan, kecergasan, penguasaan taktikal, dan kekuatan mental pemain
- Prestasi di perlawanan pembuka penting untuk meningkatkan moral dan motivasi pemain Hillcrest sepanjang kejohanan
- Saingan Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 didukung oleh Permodalan Negeri Selangor Berhad dengan Sinar Harian sebagai media rasmi






