‘Lawatan ke Pakistan amat bermakna’

‘Lawatan ke Pakistan amat bermakna’


PETALING JAYA: Lawatan negara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Pakistan membuahkan hasil yang merangkumi pelbagai isu hala demi kepentingan bersama.

Perdana Menteri juga menyifatkan kunjungan ke negara Asia Selatan itu sebagai ‘amat bermakna’ secara peribadi.

Katanya, sepanjang lawatan, beliau mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya, Shehbaz Sharif dan Presiden Pakistan, Asif Ali Zardari selain tokoh industri membuahkan hasil merangkumi pelbagai isu dua hala demi kepentingan bersama.

“Ini jelas membuktikan kesungguhan kepemimpinan tertinggi untuk meningkatkan hubungan dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi sementelahan terdapat potensi besar dalam hubungan perdagangan yang boleh dipelopori.

“Pastinya, akan ada peningkatan kerjasama dalam semua bidang perdagangan dan teknologi pertanian termasuk berkaitan daging, beras dan import minyak kelapa sawit oleh Pakistan, malah kedua-dua negara akan turut memperluas kerjasama dalam sektor pekerja mahir menerusi bidang kritikal seperti kecerdasan buatan (AI), digital dan semikonduktor.

“Moga hubungan Malaysia-Pakistan akan terus berkembang maju di masa hadapan, Insya-Allah,” tulis Anwar dalam hantaran Facebook beliau hari ini.

Perdana Menteri mengakhiri lawatan kerja selama tiga hari di Pakistan sejak Rabu lalu.

Semalam, Anwar diberi sambutan rasmi di Kediaman Perdana Menteri Pakistan disusuli dengan mesyuarat dua hala, majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dan pelancaran tiga karya terjemahan oleh penyair terkemuka Pakistan Allama Muhammad Iqbal, yang diterjemahkan daripada bahasa Parsi, Urdu dan Inggeris ke bahasa Melayu.

Beliau juga dikurniakan anugerah awam tertinggi Pakistan, Nishan-e-Pakistan oleh Presiden negara itu dalam satu majlis di Istana Presiden, Aiwan-e-Sadr.

Anugerah itu merupakan pengiktirafan tertinggi daripada kerajaan Pakistan atas kepemimpinan Anwar dalam menggalakkan dan meningkatkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Pakistan.

Selain itu, beliau dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Universiti Sains dan Teknologi Kebangsaan (NUST) Pakistan semalam sebagai pengiktirafannya terhadap peranan pemimpin Islam peringkat antarabangsa.

Anwar kemudian berlepas ke Bangladesh bagi mengadakan lawatan singkat ke negara itu dan beliau dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan Ketua Penasihat Kerajaan Interim Bangladesh, Prof Muhammad Yunus di Dhaka petang ini. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top