LEBIH 13,000 pelari ‘menguasai’ Lebuhraya Pantai Baharu (NPE) dan Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) pada Ahad sempena edisi ketujuh IJM Allianz Duo Highway Challenge 2025.
Acara yang menarik penyertaan daripada 31 negara dengan 80 peratus peserta tempatan dan selebihnya peserta antarabangsa itu disempurnakan oleh Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Ir Sazali Harun.
Pelbagai kategori ditampilkan termasuk maraton penuh 42.195 kilometer (km), separuh maraton 21km, kategori 10km dan 5km yang menyaksikan gabungan pelari profesional serta baharu, sekali gus mewujudkan suasana larian yang inklusif dan dinamik.
Dengan pengiktirafan rasmi daripada World Athletics, IJM Allianz Duo Highway Challenge kini telah mengukuhkan kedudukannya sebagai acara utama dalam kalendar larian serantau.
Anjuran bersama oleh IJM Corporation Berhad dan Allianz Malaysia Berhad, acara bertema 2025 ‘Highway Legend’ ini meraikan ketabahan, perpaduan serta semangat insan sambil menetapkan penanda aras baharu dalam pelaksanaan acara larian lestari.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan IJM Corporation Berhad, Datuk Lee Chun Fai berkata, setiap tahun IJM Allianz Duo Highway Challenge menaikkan standard bukan sahaja dari segi jarak larian tetapi juga bagaimana mengaktifkan lebuh raya untuk komuniti.
“Kini dengan pensijilan World Athletics dan sokongan kukuh daripada rakan strategik, acara ini bukan sahaja menepati piawaian antarabangsa, tetapi turut mengekalkan semangat lokal.
“Daripada pakaian kitar semula hingga pengalaman digital sepenuhnya, kami berbangga acara ini menjadi platform untuk gaya hidup sihat, tanggungjawab alam sekitar dan semangat bersama saban tahun,” katanya.
Dalam pada itu, beberapa pencapaian penting telah direkodkan dalam acara tahun ini termasuk secara rasmi menjadi ahli Persatuan Maraton dan Larian Jarak Jauh Antarabangsa (AIMS).
Malah, ia turut direkodkan dalam Malaysia Book of Records apabila buat pertama kalinya, maraton penuh disempurnakan oleh pelari, Norhazim Izzat, bersama seorang kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) melalui kerjasama erat dengan sebuah keluarga sokongan autisme.
Untuk rekod, edisi 2025 turut memperkenalkan beberapa inisiatif kelestarian baharu termasuk pengumpulan dan kitar semula lebih 16,000 botol plastik yang digunakan sepanjang acara.
Ia dikumpulkan dan dihantar ke fasiliti kitar semula yang sah, sekali gus memastikan sifar sisa plastik.
Inisiatif ini dijalankan bersama Trash4Cash dengan sokongan 286 sukarelawan di stesen air.