KUALA LUMPUR – Sebanyak 135,915,377 juta saman berdaftar berjumlah RM20.38 bilion dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tempoh 34 tahun.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, jumlah saman itu melibatkan pelbagai jenis kesalahan trafik sejak tahun 1990 hingga 2024.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 67 peratus atau lebih 92,317,493 juta saman bernilai RM8.56 bilion telah dijelaskan manakala saman tertunggak pula, sebanyak 33 peratus atau 43,597,884 saman (RM6.53 bilion).
“Bagi tahun ini (2024), sebanyak 4,307,956 saman berdaftar dicatatkan daripada Januari hingga 6 November ini membabitkan nilai RM646.19 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau Balai Polis Trafik Tun HS Lee bagi pelaksanaan Program Tawaran Semakan dan Bayaran Saman sehingga 50 peratus, hari ini.
Mohd Yusri berkata, jumlah itu membabitkan 2,474,287 keping kompaun berjumlah RM371.143 juta untuk saman K170 bagi kesalahan dikesan PDRM melalui kamera atau penguatkusaan dijalankan.
Sementara itu, bagi kesalahan K257 iaitu secara bersemuka melibatkan sebanyak 1,833,669 keping kompaun dianggarkan bernilai RM275.05 juta dikeluarkan JSPT.
“Antara kompaun paling banyak kita keluarkan membabitkan kesalahan halangan lalu lintas serta mengabaikan lalu lintas.
“Pada masa sama, JSPTKL merekodkan jumlah saman bagi Kuala Lumpur sepanjang tahun ini adalah sebanyak 881,221,” jelasnya. – MalaysiGazette
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL