Ladakh, India: Lebih 340 pendaki dilaporkan terkorban ketika berusaha menawan Gunung Everest sejak rekod pendakian bermula pada dekad 1920-an.
Menurut laporan CBS News, kira-kira 200 jasad daripada jumlah berkenaan masih berada dalam keadaan beku di gunung berkenaan, terutamanya di kawasan altitud tinggi yang dikenali sebagai Zon Kematian (Death Zone), di mana operasi membawa turun jasad berdepan risiko nyawa yang sangat ekstrem.
Satu laporan berasingan oleh BBC mendedahkan bahawa usaha mengambil dan membawa turun jasad individu yang meninggal dunia di gunung tertinggi di dunia itu adalah tugas yang amat berbahaya, melelahkan, dan amat jarang dilakukan sehingga dekad kebelakangan ini.
Kebanyakan jasad, termasuk jasad Dorje Morup – pendaki yang terkenal dengan gelaran Green Boots – terletak di kawasan Death Zone pada ketinggian melebihi 8,000 meter (m).
Di kawasan ini, suhu boleh merosot sehingga -40 darjah Celsius dan paras oksigen berada pada kadar hanya satu pertiga berbanding aras laut.
“Faktor cuaca dan keadaan salji akan menjadi sangat penting,” kata Tshiring Jangbu Sherpa, seorang pendaki terkemuka Nepal yang pernah terbabit dalam beberapa misi menyelamat dan mengumpul jasad di Everest.
Menurut Tshiring Jangbu Sherpa dalam temubualnya bersama BBC Hindi, laluan dari sebelah utara mempunyai lebih sedikit jurang ais (crevasses), namun ia membawa risiko yang lebih tinggi dari sudut logistik dan kecemasan.
“Jika berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini di sebelah Nepal, anda boleh dipindahkan dengan pantas menggunakan helikopter. Namun, sistem pemindahan kecemasan seperti itu tidak wujud di sebelah China,” jelasnya lagi.
Sumber dalam kalangan komuniti Sherpa memberitahu BBC News Nepali bahawa laluan di sebelah puncak China, aitu lokasi jasad Green Boots berada, mempunyai cerun yang lebih curam dan tidak mempunyai struktur sokongan lengkap sebagaimana cerun di sebelah selatan Nepal.
Jurupandu pendakian veteran, Pemba Ongchu Sherpa, menjelaskan bahawa membawa turun jasad dari kawasan berkenaan adalah tugas yang amat sukar, walaupun dijalankan semasa musim bunga yang popular, apatah lagi pada musim luruh yang mencatatkan cuaca yang jauh lebih sukar diramal.
“Itulah alasan mudah mengapa jasad berkenaan masih kekal bersemadi di sana selama bertahun-tahun. Sekurang-kurangnya 10 hingga 12 pendaki berkeupayaan tinggi diperlukan hanya untuk memasang tali sokongan demi membolehkan pasukan penyelamat sampai ke lokasi berkenaan,” kata Pemba Ongchu Sherpa.
Selain itu, jasad Green Boots perlu diangkat dan diusung secara fizikal turun ke paras altitud yang membolehkan ia diambil oleh helikopter atau lembu Yak untuk dihantar ke lapangan terbang – suatu proses yang memerlukan tenaga manusia yang amat besar.
Sherpa-sherpa turut mendedahkan bahawa jasad yang terbungkus dalam kelengkapan pendakian yang membeku selalunya mempunyai berat berkali-kali ganda berbanding berat manusia biasa dan kerap berada dalam posisi kekok yang membeku.
Keadaan ini menjadikan perjalanan merentasi muka bumi yang ekstrem lebih membahayakan, malah jasad mungkin mula mencair dan mereput sebaik sahaja tiba di altitud yang lebih rendah.
Pendaki terkemuka dari India, Kuntal Joisher, memberitahu BBC Nepali bahawa fasa terawal proses membawa turun jasad adalah bahagian yang paling sukar dan berisiko tinggi.
“Ia usaha yang sangat berisiko. Muka buminya amat curam dan dipenuhi batuan tajam. Dari segi logistik, jarak 1,000 meter pertama ini adalah cabaran yang sangat besar, dan perkara terpenting ialah kita tidak harus mempertaruh atau mengorbankan nyawa Sherpa semata-mata demi satu mayat,” tegasnya.
Faktor-faktor ekstrem ini menjadikan operasi pemulihan jasad memerlukan kos yang sangat tinggi, di mana pakar menganggarkan operasi paling ringkas pun boleh menelan belanja antara AS$40,000 hingga AS$80,000 (kira-kira RM178,000 hingga RM356,000) – suatu jumlah yang di luar kemampuan kebanyakan keluarga mangsa.
Disebabkan kekangan kos dan risiko nyawa, pasukan tempatan biasanya hanya memindahkan jasad ke kawasan yang terlindung daripada pandangan umum di gunung berkenaan, seperti yang berlaku kepada penjelajah Francys Arsentiev – yang digelar Sleeping Beauty of Everest – di mana jasadnya dipindahkan ke tempat persemadian yang lebih peribadi di Everest pada 2007, hampir sedekad selepas beliau terkorban.
Bagaimanapun, Pasukan Polis Sempadan Indo-Tibet (ITBP) yang menaja operasi membawa keluar ini berharap jasad Morup dapat dibawa pulang menjelang September depan, dan kini aktif mencari kumpulan sherpa penyelamat gunung yang berkeupayaan untuk melaksanakan misi berbahaya berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
