Lebih 200,000 pengunjung hadir Sambutan Minggu Perpaduan 2025

Lebih 200,000 pengunjung hadir Sambutan Minggu Perpaduan 2025


Kuala Lumpur: Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) 2025 Peringkat Kebangsaan di Pulau Pinang, baru-baru ini berlangsung meriah dengan pelbagai pengisian yang menekankan semangat perpaduan dan keharmonian dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, berkata SMP antara program utama kementerian yang menjadi platform interaksi masyarakat serta tapak integrasi budaya untuk menyemai semangat perpaduan.

“Dengan tema ‘Harmoni Dalam Kepelbagaian’, sambutan tahun ini memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh hubungan antara penganut agama serta menerapkan nilai Faham, Hormat dan Terima sebagai asas kepada keharmonian nasional.

“Tahun ini adalah penganjuran kali ketiga selepas Kuching, Sarawak dan Johor Bahru. Seramai lebih 200,000 pengunjung dari pelbagai latar belakang hadir memeriahkan acara ini,” katanya.

Sambutan Minggu Perpaduan 2025 perkukuh hubungan antara rakyat Malaysia dengan menekankan konsep Faham, Hormat dan Terima.

Lebih 40 pengisian utama telah disusun sepanjang sambutan termasuk Pameran Rumah KAMI (etnik), Pameran Rumah Etnik Kadazan Dusun & Orang Asli, Foodunites dan Pameran Susur Masa oleh Jabatan Muzium Malaysia.

Turut diadakan Pameran Malaysia Tanah Airku, pesta buku, jualan MADANI dan pelbagai persembahan kebudayaan, pertandingan boria, busana serta tarian etnik.

Pengunjung turut berpeluang menikmati Jualan MADANI iaitu jualan barangan keperluan harian dengan potongan harga sehingga 20 peratus yang dianjurkan bersama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Program hiburan juga mewarnai sambutan dengan Persembahan Malam Kerohanian oleh kumpulan nasyid terkenal In-Team dan Hijjaz serta Malam Irama Sama-Sama Kita yang menampilkan artis pelbagai kaum.

Selain itu, sebagai inisiatif mendekati masyarakat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menawarkan diskaun 50 peratus bagi kompaun saman sepanjang program berlangsung.

Buat julung kalinya, kementerian turut menjalin kerjasama dengan syarikat tempatan di Pulau Pinang yang menawarkan promosi khas seperti cabutan bertuah dua tiket penerbangan oleh AirAsia, 200 baucar diskaun ke The Habitat Penang Hill, 20 tiket Fastlane ke Bukit Bendera dan 1,500 baucar makanan oleh Nando’s.

Dalam pada itu, Aaron memaklumkan, keseluruhan pengisian SMP 2025 menunjukkan bahawa perpaduan bukan sekadar slogan, malah diterjemahkan melalui budaya, makanan, pendidikan, sejarah dan hiburan merentasi sempadan kaum dan usia.

Tambah beliau, bagi memperkukuh impak SMP, kementerian bakal melaksanakan pendekatan baharu mulai tahun hadapan dengan menggabungkan sambutan SMP bersama perayaan budaya etnik minoriti di negeri masing-masing.

“Konsep ‘2 dalam 1’ ini bertujuan mengiktiraf warisan budaya etnik minoriti serta membuka ruang lebih luas kepada rakyat untuk menghargai kepelbagaian budaya yang membentuk identiti Malaysia.

“Kementerian juga sedang mengadakan siri jelajah SMP ke seluruh negeri. Setakat ini, tujuh negeri termasuk Melaka, Kedah, Kelantan, Sabah, Johor, Perlis dan Terengganu telah selesai mengadakan sambutan peringkat negeri masing-masing,” jelasnya.

Menurutnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam majlis sama turut menyampaikan geran kepada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) terpilih sebagai dorongan untuk melaksanakan program ekonomi bersifat progresif, inklusif dan berimpak tinggi.

Tiga penerima biasiswa YTAR


Aaron bersama penerima sijil penghargaan rakan perpaduan sempena Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) Peringkat Kebangsaan 2025 di Batu Kawan, Pulau Pinang.

Katanya, tiga penerima biasiswa Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR) turut menerima sumbangan sebagai simbol komitmen kerajaan memperkasa pendidikan generasi muda.

“Sejak 2023, kementerian memperkenalkan Kerangka Perpaduan Membangun Malaysia MADANI, yang menjadi teras pendekatan strategik dalam memupuk perpaduan nasional.

“Ia turut memacu pelaksanaan pelbagai program seperti Arkib@Sekolah, Gerak Integrasi Perpaduan (GRIP) dan Inspirasi Pelajar Inovasi Muzium bagi memperkukuh jati diri anak muda.

“Kementerian Perpaduan Negara akan terus komited memperkukuh semangat kenegaraan, perpaduan dan kesukarelawan berteraskan Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan Dasar Perpaduan Negara,” katanya.

Sementara itu, Felo Penyelidik Kanan Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohd Sobhi Ishak, berkata Minggu Perpaduan Negara menjadi asas bermakna dalam memperkukuh perpaduan sosial.

Menurutnya, kepelbagaian aktiviti yang ditawarkan membuka peluang semula jadi kepada rakyat untuk berinteraksi merentas sempadan budaya dalam suasana yang santai, mesra dan berkekalan.

“Melalui pameran, makanan tradisional, persembahan dan permainan, masyarakat dapat bertemu, berbual dan belajar antara satu sama lain. Beginilah kepercayaan dan keakraban terjalin.

“Pendekatan ini bukan sahaja menghormati warisan, malah membina jambatan perpaduan antara komuniti.

“Ia memberi peluang kepada masyarakat untuk mengenali antara satu sama lain dan menghayati kepelbagaian budaya dalam konteks setempat,” katanya.

Tambah beliau, penglibatan terus komuniti tempatan dalam merancang dan melaksanakan aktiviti Minggu Perpaduan adalah penting untuk memastikan mesejnya benar-benar dirasai di peringkat akar umbi.

Pada masa sama, Mohd Sobhi turut mencadangkan penglibatan rentas budaya secara berterusan seperti pertukaran sekolah, lawatan kejiranan dan program gotong-royong pelbagai kaum bagi mengekalkan semangat perpaduan.

 

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top