PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Istana Johor yang berlangsung di Istana Besar Johor, hari ini.
Majlis rumah terbuka tersebut menerima kehadiran kira-kira 25,000 pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Rata-ratanya tidak melepaskan peluang untuk bersalaman serta beramah mesra bersama Keluarga Diraja Johor dalam suasana penuh mesra dan harmoni.
Majlis turut diserikan dengan keberangkatan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail selaku Pemangku Sultan Johor diiringi Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor serta Raja Muda Johor, Tunku Iskandar Ibni Tunku Ismail dan paduka anakanda.
Berangkat sama, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim.
Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim bersama suami, Datuk Dennis Muhammad Abdullah turut hadir memeriahkan majlis.- UTUSAN






