razis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Prihatin terhadap cabaran kesihatan dihadapi gelandangan, penuntut Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia (MBA UKM-GSB) mengambil inisiatif melaksanakan Projek Hati (Bantuan Kesihatan, Rawatan & Intervensi) di sekitar Chow Kit, di sini, hari ini.
Program tanggungjawab sosial korporat selama tiga jam yang bermula 7.30 malam itu menyaksikan lebih 300 gelandangan menjalani pemeriksaan kesihatan secara percuma melalui klinik kesihatan bergerak yang disediakan.
Bukan itu sahaja, gelandangan yang hadir turut diberikan makanan, menerima suntikan influenza serta dibekalkan ubat-ubatan dan vitamin untuk penjagaan kesihatan mereka.
Inisiatif ini turut mendapat kerjasama beberapa rakan strategik termasuk St John Ambulance Kawasan Selangor Selatan, Rex Canning Sdn Bhd, ETA Group Berhad dan International Medical University (IMU).
Penyelia Projek Hati, Profesor Dr Norzalita Abd Aziz berkata, program itu adalah projek akademik yang perlu dilaksanakan oleh penuntut MBA UKM-GSB.
“Program ini bertujuan memberikan bantuan perubatan serta sokongan kesihatan kepada gelandangan di sini.
“Saya tidak sangka sambutan yang diberikan sangat menggalakkan. Pada mulanya kita jangkakan 100 orang sahaja hadir, tetapi hari ini kita boleh lihat lebih 300 orang sudah mula berkumpul seawal jam 7 malam untuk menjalani pemeriksaan kesihatan,” katanya.
Beliau berkata, pemilihan komuniti gelandangan sebagai golongan sasaran kerana mereka adalah antara kelompok paling terpinggir untuk akses kesihatan.
“Mereka sering menghadapi halangan seperti tiada pengenalan diri, tiada alamat tetap, stigma dan kekurangan sumber kewangan. Kami percaya setiap orang berhak mendapat penjagaan kesihatan asas.
“Projek ini adalah usaha kecil kami untuk mengurangkan jurang ini dan memberi impak langsung kepada kehidupan mereka,” katanya.
Ditanya mengenai perancangan masa hadapan, Norzalita berharap Projek Hati dapat diteruskan dengan skala lebih besar, termasuk memperluas kolaborasi bersama Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM UKM).
Sementara itu, Pengasas Bersama Klinik Bergerak St John Malaysia Selangor Selatan, Dr Lee Kian Yee berkata, berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan, pihaknya mendapati ramai dalam kalangan gelandangan mengalami batuk, jangkitan kulit, radang paru-paru dan masalah sendi.
“Majoriti gelandangan yang hadir terdiri daripada pelbagai peringkat umur, namun warga emas dan kanak-kanak mencatat jumlah paling ramai.
“Kanak-kanak banyak mengalami batuk, selesema dan demam manakala orang dewasa pula berdepan masalah kulit, sendi, kencing manis dan darah tinggi yang kawalannya kurang memuaskan. Rata-rata turut mengalami jangkitan kuman akibat gaya hidup serta persekitaran tidak bersih,” katanya.
Beliau berharap program seumpama itu dapat dilakukan lebih kerap untuk membantu gelandangan yang masih mempunyai tahap kesedaran kesihatan rendah.
Dalam pada itu, Pengarah Projek Hati, Mohd Hanafi Zainal Abidin berkata, projek itu bukan sekadar tugasan akademik tetapi peluang mengaplikasikan apa yang dipelajari dalam konteks dunia sebenar.
“Harapan kami ialah komuniti dapat merasai kehadiran kami dan mendapat sedikit kelegaan, sama ada dari segi keperluan asas, kesihatan atau sokongan moral. Pada masa sama, kami sendiri belajar menjadi pemimpin yang lebih empati dan bertanggungjawab,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd





