am@hmetro.com.my
Gua Musang: Lebih 50 rumah di Felda Chiku 1 dan Chiku 2 di sini terjejas banjir akibat hujan lebat bermula 5 petang tadi.
Penduduk mendakwa kejadian berlaku disebabkan pembangunan projek Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) yang terletak berhampiran hingga menyekat aliran air ke sungai terdekat.
Penduduk, Muhammad Hazim Mohd Bakri, 25, berkata, kejadian itu yang kedua dan membabitkan ramai penduduk.
“Dalam kejadian pertama beberapa bulan lalu, keadaan tidak seteruk ini, malah saya difahamkan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sudah dibuka di Dewan Felda Chiku 2 untuk menempatkan mangsa banjir.
“Felda Chiku 2 mula dilanda banjir kilat apabila projek LTU dibangun di kawasan ini dengan pembinaan benteng yang menghalang air mengalir ke sungai terdekat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Razali Daud, 73, pula berkata, dia terkejut apabila air memenuhi dapur rumah kira-kira 6.30 petang, sedangkan sebelum ini kediamannya bebas banjir.
“Ini pertama kali berlakunya banjir di rumah saya. Ketika ini pun air masih bertakung di dapur,” katanya yang memaklumkan hujan lebat sebelum ini tidak pernah menyebabkan kawasan kediamannya dinaiki air.
Bagi Shamsaziela Mohd Ghazali, 35, dia bersama 30 ahli keluarga menetap sementara di PPS Dewan Chiku 2 sejak 8.30 malam tadi selepas rumah masing-masing terjejas teruk.
“Kami seramai 30 ahli keluarga yang pulang bercuti sempena cuti sekolah terpaksa meninggalkan rumah kerana air semakin naik dan hujan belum berhenti,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






