amir_hamid@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Perancangan bandar seimbang, jaringan pengangkutan awam lebih efektif dan penyediaan pengangkutan pengantara yang cekap.
Selain itu, pembinaan kemudahan mikromobiliti ditambah laluan pejalan kaki selamat perlu dijadikan kunci teras utama dalam usaha menangani kesesakan lalu lintas luar biasa di Lembah Klang.
Pada masa sama, dasar bekerja dari rumah (BDR) atau waktu kerja anjal juga wajar diperkasakan kerana mampu mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya pada waktu puncak.
Menjelaskan demikian, Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Ahmad Nazrul Hakimi Ibrahim berkata, gabungan langkah itu adalah penyelesaian sistemik yang lebih menyeluruh berbanding hanya bergantung kepada pembinaan lebuh raya baharu.
“Purata seorang penduduk Lembah Klang membazirkan lebih 500 jam setahun dalam kesesakan lalu lintas, bersamaan kira-kira dua jam 15 minit sehari.
“Ramai tidak sedar jumlah masa terbuang dalam trafik setiap tahun boleh mencecah lebih 500 jam. Ia bukan saja merugikan individu, tetapi juga negara dari segi kos ekonomi,” katanya.
Beliau menegaskan, di Lembah Klang lokasi kritikal seperti Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Jalan Sungai Besi, Jalan Kuching, Jalan Klang Lama danLebuhraya Duta–Ulu Kelang (DUKE) sudah sinonim dengan kesesakan luar biasa saban hari terutama pada waktu puncak.
Ahmad Nazrul berkata, masalah ini berlaku kerana banyak inisiatif diambil bersifat ‘band-aid’ yang hanya merawat luka luaran tanpa menyentuh akar punca sebenar.
“Jalan raya baharu memang boleh mengurangkan sesak pada awalnya, tetapi lambat-laun ia kembali padat kerana menarik lebih banyak trafik setempat. Jika hanya fokus pada pembinaan jalan raya tanpa strategi lain, kita berisiko membazirkan sumber,” katanya.
Beliau menjelaskan, usaha mengatasi kesesakan memerlukan penglibatan menyeluruh seperti pihak berwajib dengan dasar efektif, penyedia perkhidmatan dengan pengangkutan berkualiti dan orang awam dengan kesedaran menggunakan mobiliti mampan.
Katanya, penyediaan pengangkutan pengantara seperti bas dan van ulang-alik penting bagi menyelesaikan isu perjalanan awal dan akhir (first mile and last mile connectivity), sekali gus meningkatkan minat rakyat menggunakan pengangkutan awam.
Selain itu, katanya, dasar bekerja dari rumah atau BDR mampu memberi kesan besar bukan sahaja kepada penyuraian trafik malah kualiti produktiviti pekerjaan tertentu.
“Kajian National Bureau of Economic Research (NBER) mendapati pekerja Malaysia boleh menjimatkan sehingga 69 minit perjalanan sehari sekiranya bekerja dari rumah.
“Istilah BDR boleh ditukarkan kepada ‘Remote Working’ supaya tampak lebih profesional.
“Secara peribadi, bekerja dari rumah turut membolehkan saya lebih fokus pada tugasan dan menjimatkan masa perjalanan. Ia juga boleh mengurangkan trafik pada waktu puncak,” katanya.
Mengulas campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu projek jalan raya disegerakan walaupun menelan kos tinggi, Ahmad Nazrul berkata langkah itu positif kerana menunjukkan keprihatinan kepimpinan tertinggi kerajaan terhadap derita rakyat.
“Kita boleh lihat dari sudut pandang positif perkara ini apabila pemimpin utama negara kita sendiri sangat prihatin kepada isu kesesakan lalu lintas dihadapi oleh penduduk tinggal di ibu kota dan bandar utama lain,” katanya.
Terdahulu pada Jumaat lalu, Perdana Menteri ketika merasmikan Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) di Ampang, di sini, menegaskan projek infrastruktur jalan raya perlu dipercepat bagi melegakan tekanan trafik.
Anwar pada majlis perasmian itu bertegas mahu projek pembinaan jalan raya khususnya di Lembah Klang disegerakan walaupun ia menelan kos tinggi.
Beliau dilaporkan berkata, langkah itu disifatkan mendesak mengambil kira kesesakan luar biasa membabitkan jalan raya utama di ibu negara perlu ditangani sebaiknya.
© New Straits Times Press (M) Bhd