am@hmetro.com.my
Sepang: Sejumlah 53,164 pelbagai jenis teks dan bahan al-Quran bernilai RM1,597,131, disita dalam tempoh Januari hingga September lalu.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, dalam tempoh itu 295 kertas siasatan dibuka mengikut Akta Percetakan Teks Al-Qur’an 1986 (Akta 326).
Menurutnya, sebahagian besar daripadanya adalah melalui Ops Mulia dilaksana pada Ramadan lalu yang menyita 29,039 pelbagai jenis teks dan bahan al-Quran bernilai RM957,762.
“Sebanyak 201 kertas siasatan juga telah dibuka (dalam Ops Mulia),” katanya pada program Multaqa Madani Bersama Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran dan Lajnah Bawahnya di sini, malam ini.
Pada masa sama, Shamsul Anuar berkata, sehingga bulan ini, terdapat 39 syarikat yang memiliki Lesen Untuk Mencetak Teks Al-Qur’an yang masih aktif, dikeluarkan mengikut Seksyen 5(1) Akta 326.
Katanya, Malaysia antara negara Islam terawal di dunia yang menggubal akta khusus bagi memelihara kesucian teks al-Quran dan diterajui oleh Kementerian Dalam Negeri melalui Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan.
Beliau juga menyifatkan peranan peranan Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran masih relevan dan sangat signifikan yang bukan sekadar badan kawal selia yang meluluskan lesen atau pruf akhir teks al-Quran semata-mata, tetapi juga bertindak sebagai penjaga dan penguat kuasa al-Quran di Malaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd






