Lebih 7,000 peserta meriahkan Perlis International Marathon 2026

Lebih 7,000 peserta meriahkan Perlis International Marathon 2026


KANGAR: Lebih 7,000 peserta dari pelbagai negara memeriahkan Perlis International Marathon (PIM) 2026 yang kali terakhir diadakan sebelum pandemik Covid-19.

Acara berkenaan turut diserikan dengan keberangkatan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang menyempurnakan majlis penutup dan penyampaian hadiah di Stadium Tuanku Syed Putra di sini.

Berangkat sama, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail: Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda-anakanda baginda berdua iaitu Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Acara larian antarabangsa anjuran Majlis Sukan Negeri (MSN) Perlis itu bukan sahaja berjaya menarik minat peminat sukan larian, malah menjadi platform pertemuan atlet dari seluruh pelusuk dunia.

Kemuncak majlis berkenaan menyaksikan Tuanku Syed Sirajuddin berkenan menyampaikan hadiah kepada para pemenang kategori elit 42 kilometer (km), manakala Tuanku Syed Faizuddin menyempurnakan penyampaian hadiah bagi kategori 21 km.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Wan Zikri Afhtar Ishak berkata,  penganjuran tersebut telah memberi impak yang signifikan bukan sahaja dalam aspek sukan, tetapi juga kepada pembangunan ekonomi dan pelancongan negeri.

Katanya, kehadiran ribuan peserta dan pengunjung meningkatkan permintaan terhadap penginapan seperti hotel dan inap desa, sekali gus meningkatkan kadar penghunian.

“Sektor perniagaan kecil dan sederhana (PKS) turut mendapat manfaat melalui peningkatan jualan produk tempatan, makanan dan cenderamata.

“Dalam jangka panjang, PIM berpotensi menarik pelaburan dalam sektor pelancongan sukan termasuk pembangunan fasiliti sukan, infrastruktur dan perkhidmatan berkaitan.

“Keistimewaan utama PIM 2026 terletak pada laluan lariannya yang rata dan mesra pelari, menjadikannya antara lokasi terbaik di Malaysia untuk mencipta rekod peribadi,” katanya.-UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top